Tidak kurang juga, ada sindiket didalangi rakyat tempatan menyewakan unit PPR kosong sebagai jalan untuk memperoleh wang mudah setiap bulan.
Malah ada pula majikan menjadikan PPR sebagai rumah kongsi pekerja dan menjadikan unit rumah mereka sebagai stor peralatan tapak projek.
Tinjauan pada malam hari sehingga awal pagi di kawasan PPR Taman Putra Damai, Lembah Subang baru-baru ini mendapati, terdapat banyak unit rumah di situ dihuni oleh warga asing.
Fenomena memeranjatkan itu terbongkar selepas wartawan Sinar Harian dibawa sendiri melihat unit rumah yang didiami warga asing dari Myanmar, India, Bangladesh dan Indonesia.
Penyewa, majikan ambil kesempatan
Rumah pertama yang dikunjungi di tingkat 12 blok C ini didiami lapan warga Bangladesh yang bekerja di sebuah tapak projek di kawasan berhampiran.
Menurutnya, ketua rumah itu yang mahu dikenali Sattar, 40, berkata, dia dan rakan baru dua bulan menetap di rumah yang disediakan majikannya.
Apa yang pasti, unit rumah yang didiami warga asing itu tidak ubah seperti rumah kongsi apabila keadaan tidak terurus dan kotor.
Sebuah rumah lagi di blok sama di tingkat dua pula dijadikan stor penyimpanan barang untuk projek perumahan didiami dua warga India.
Seorang penghuninya dikenali sebagai Dharmaraj, 30, mengaku tinggal bersama seorang lagi rakannya dan mula menetap di situ sejak tiga bulan lalu dan memberitahu rumah yang didiami itu disediakan majikan.
Dua rumah lagi di blok A dan blok E turut dijadikan rumah kongsi apabila terdapat tujuh hingga 10 warga Myanmar yang bekerja sebagai pencuci kereta dan tapak pembinaan sanggup tinggal bersesak-sesak.
Alasan sama turut diberikan iaitu rumah disediakan oleh majikan dan mereka hanya diarah tinggal di situ sahaja manakala sebuah lagi rumah yang didiami sekeluarga warga India mengaku membayar sewa kepada penyewa asal yang merupakan warga tempatan dengan kadar bayaran RM350, jauh lebih tinggi daripada harga sewa asal yang perlu dibayar kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) iaitu RM124 sebulan.
Manakala dua rumah didiami warga Indonesia gagal dimasuki kerana penghuninya enggan membuka pintu.
Gagal tunjuk permit
Hampir ke semua warga asing yang tinggal unit PPR berkenaan gagal menunjukkan permit kerja sebaliknya menunjukkan salinannya pasport.
Dianggarkan puluhan unit rumah di situ didiami warga asing menggunakan cara yang sama malah ada rumah disewa sehingga mencecah RM700 sebulan.
Tiada tindakan diambil
Pengerusi Surau Al-Ihsaniah, Mohd Nasair Sharif berkata, aduan mengenai perkara berkenaan sudah dibuat kepada MBPJ beberapa kali namun tiada tindakan diambil.
“Masalah pertambahan warga asing ini cukup ketara selepas MBPJ mengambil alih pengurusan lapan blok di kawasan ini tiga bulan lalu,” katanya
Menurutnya, MBPJ perlu melakukan pemeriksaan dan menyemak semula status penyewa di kawasan perumahan itu dan jika didapati pemiliknya menyewakan kepada warga asing tindakan tegas perlu diambil.
Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) MBPJ, Aziz Hashim berkata, tujuan asal diwujudkan PPR adalah untuk rakyat tempatan atau keluarga kurang berkemampuan, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) selain turut menjadi transit sementara untuk penghuni setinggan.
“Sekarang PPR di sini sudah jadi tempat warga asing, yang merananya nanti rakyat kita juga kerana terpaksa tinggal berjiran dengan warga asing yang pengotor malah keselamatan penduduk juga tidak terjamin dengan kehadiran mereka,” katanya.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohd Faizal Azmi berpendapat, sudah tiba masanya MBPJ melakukan bancian dan pemeriksaan semula penyewa di situ.
“Apa yang saya tahu ada yang sudah berpindah, kemudian sewakan rumah kepada warga asing atau pihak lain dan kaut untung atas angin,” katanya.
MBPJ bakal usir penyewa
MBPJ akan mengusir mana-mana penyewa dan mengambil semula kediaman yang disewakan kepada warga asing.
Pengarah Unit Perhubungan Awamnya, Haniza Abdul Hamid memberitahu, setakat ini sebanyak 80 kediaman dikosongkan kerana penyewanya melakukan kesalahan itu.
“Majlis akan menawarkan unit-unit pendatang asing yang dikosongkan oleh pendatang asing tersebut kepada pemohon yang berada dalam senarai menunggu majlis manakala penyewa asal yang terlibat dalam memberikan sewa kepada pendatang asing akan disenaraihitamkan daripada memohon dan menyewa di PPR di bawah kendalian majlis,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: