Asam pedas Batu Pahat unik
Asam Pedas Ikan Pari
Asam pedas Batu Pahat unik
Yana (kiri) mahu berkongsi kesedapan resepi turun temurun keluarganya dengan penduduk Batu Pahat
APABILA sebut sahaja makanan di daerah Batu Pahat, sudah pasti ramai yang bercerita mengenai keenakan Nasi Beriani di Medan Selera Benteng dan juga keunikan sejenis mi yang dikenali sebagai Mi Racun.
Namun, bagi penggemar asam pedas mereka boleh turut merasai keenakan juadah itu yang pelbagai jenis dan jenama dari puluhan kedai makan di daerah ini dengan pelbagai citarasa tersendiri .
Bagi menarik pelanggan, pemilik kedai makan telah meletakkan pelbagai nama bagi menu asam pedas seperti Asam Pedas Melaka, Asam Pedas Muar dan Asam Pedas Parit Jawa.

Salah seorang peniaga asam pedas, Comel@Ayu Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Ibu berkata, tidak dinafikan asam pedas adalah salah satu makanan yang agak popular di Batu Pahat.

Katanya, mereka yang datang ke daerah ini sudah pasti akan mencari kedai makan yang menjual makanan istimewa terbabit, malah ada  yang datang ke sini semata-mata untuk merasai keistimewaan menu itu.

“Pernah satu ketika, saya bertanyakan kepada salah seorang pelanggan yang datang ke kedai makan saya bersama keluarganya dan dia menyatakan dari utara tanah air.

“Saya kagum dengan kesanggupan mereka sekeluarga datang ke Batu Pahat ini hanya untuk menikmati keenakan asam pedas saya yang dikatakan popular sehingga seluruh Semenanjung Malaysia," katanya kepada Sinar Harian.
Pemilik kedai makan sedia 100 kilogram ikan setiap hari

Walaupun banyak pilihan kedai asam pedas yang dianggap seperti cendawan tumbuh selepas hujan, setiap kedai makan yang wujud di daerah ini mempunyai pelanggan tetap mereka sendiri, malah mereka perlu menyediakan lebih 100 kilogram ikan pelbagai jenis setiap hari.

Menurut seorang lagi peniaga, Siti Azliyana Mohd Abd Aziz, sejak membuka restoran pada bulan Februari 2011 sambutan yang diterima memang menggalakkan.

"Tujuan asal saya membuka kedai makan ini adalah untuk berkongsi keenakan asam pedas hasil air tangan sendiri yang merupakan resepi ‘turun-temurun’ keluarga dengan orang ramai.

"Dalam masakan yang diwarisi itu, rahsia utama yang diletakkan ialah daun kesum, di mana aroma daun tersebut membuatkan asampedas itu sedap atau sebaliknya," katanya.

Menurutnya lagi, daun kesum terbabit juga mempunyai daya penarik yang boleh membuka selera setiap orang selain menambah keaslian resepi yang dihidangkan kepada pelanggan.

“Di restoran saya, antara asam pedas yang cukup digemari pelanggan dan sering menjadi pilihan ialah kepala ikan merah, ikan pari, ikan sembilang, ikan kembung dan beberapa jenis lagi.

“Bagi menampung keperluan dan juga kehendak pelanggan, setiap hari saya akan memasak sekitar 100 kilogram ikan terdiri dari pelbagai jenis untuk memenuhi kehendak pelanggan.

“Bagi pelanggan tetap yang mengunjungi restoran saya ini, mereka sudah mengetahui yang saya membukanya seawal jam 8 pagi sehinggalah 6 petang setiap hari dan hari Jumaat restoran ini tidak dibuka,” katanya.

Katanya lagi, dengan adanya gerai atau kedai makan yang menjual asam pedas ini membuatkan industri pelancongan di daerah ini semakin rancak dan berkembang maju sehingga ada yang menggelar daerah Batu Pahat sebagai ‘bandar makanan’.