Thursday, November 15, 2012

Menghargai inovasi

Sebanyak 25 pereka cipta yang memenangi anugerah mengikut kategori masing-masing tersenyum menunjukkan hadiah kemenangan sempena Forum Inovasi Dunia - Kuala Lumpur (WIF-KL) 2012 baru-baru ini.
Forum Inovasi Sedunia Kuala Lumpur (WIF-KL) mencatat sejarah tersendiri apabila seramai 25 inovator telah dianugerahkan dengan pelbagai anugerah inovasi utama semasa Malam Anugerah Inovasi WIF-KL 2012 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Majlis penyampaian tersebut adalah bagi memberi pengiktirafan atas kecemerlangan masing-masing sempena WIF-KL 2012 anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) yang diadakan pada 3 hingga 7 November lalu.
Menterinya nya, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, berkata, majlis tersebut julung kali diadakan melibatkan pelbagai anugerah yang diperkenalkan.
''Majlis ini adalah yang pertama seumpamanya diadakan dengan gabungan 12 Anugerah Inovasi bertujuan memberikan pengiktirafan kepada para pencipta tempatan kita.
"Pengiktirafan kerajaan, bersama-sama dengan pelbagai insentif untuk para pereka cipta , bertujuan menggalakkan dan meningkatkan keyakinan mereka agar terus menghasilkan produk inovatif dan seterusnya, menyumbang kepada kekayaan negara kita," kata Ongkili.
Beliau menyatakan demikian pada majlis penyampaian anugerah tersebut kepada pemenang pada majlis yang turut dihadiri oleh kira-kira 1,800 peserta forum dari 50 negara.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan timbalannya, Datuk Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad.
Anugerah Inovasi WIF-KL adalah satu majlis penyampaian anugerah utama untuk mengiktiraf usaha inovatif dan kreatif pengusaha, akar umbi, sekolah, universiti, belia, juru teknologi dan saintis.
Anugerah tersebut juga sebagai pengiktirafan untuk penjanaan idea, inovasi, dan produk baru dengan memanfaatkan sains dan teknologi yang memberikan kesan kepada pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat.
Pemenang Anugerah Inovasi Kebangsaan masing-masing menerima RM50,000, trofi dan sijil (kategori produk dan perkhidmatan), RM20,000, trofi dan sijil (kategori akar umbi) dan RM10,000, trofi dan sijil (kategori sekolah ).
Untuk Anugerah Saintis Muda Kebangsaan, pemenang menerima RM20,000, trofi dan sijil, manakala pemenang Anugerah Juru Teknologi Kebangsaan menerima RM10,000, trofi dan sijil.
Inovator Inovasi akar umbi terbaik yang ditemui oleh YIM dan MOSTI semasa ekspedisi Jejak Inovasi di seluruh negara baru-baru ini menerima RM10,000 bagi setiap kategori terbuka, belia dan wanita.
Tiga pemenang telah dipilih untuk kategori keluarga dengan setiap daripada mereka menerima RM1,000.
Sementara itu, para pemenang Inovasi Bio menerima RM4,000 dengan plak dan sijil (Inovasi Bioteknologi Tahunan), RM3,000 dengan plak dan sijil (Anugerah Paling Inovatif dan Anugerah Inovasi Harapan) dan RM2,000 dengan plak dan sijil untuk Anugerah Inovator Bio Wanita Tahunan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: