Ini terbukti menerusi pemberian bantuan kepada balunya, Halimah Jonit, 90, oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM secara berterusan sebelum ini.
Malah baru-baru ini, Yayasan Veteran ATM (YVA) menerusi Dana Rayuan Hari Pahlawan telah menyampaikan bantuan RM10,000 kepada Halimah dalam satu majlis ringkas di kediaman anak perempuannya di Kelana Jaya.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.
Menurut Zulkiflee, sumbangan itu mengambil kira pengorbanan yang dicurahkan oleh pahlawan negara tersebut dan kesukaran hidup Halimah terutama dalam membesarkan anak-anak sebagai ibu tunggal selepas kematian Ismail.
Jelasnya, Halimah tidak layak mendapat pencen suaminya mengikut undang-undang 'The Malay Regiment (Pensions to Dependents) Regulation 1950'.
''Bagaimanapun JHEV telah memberikan bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan kepada Halimah sejak 2003 bagi meringankan bebannya," katanya.
Tambahnya, sumbangan itu bertujuan membantu Halimah serta keluarga terutama dari segi kos perubatan dan bantuan-bantuan lain.
Ismail yang mempunyai nombor tentera 382 terkorban ketika menjalankan operasi di Mentakab, Pahang pada 3 September 1945.
Beliau memulakan perkhidmatan pada 12 Februari 1935 dan telah dianugerahkan empat pingat selama berkhidmat iaitu pingat 1939-45 Star, pingat Pacific Star, pingat War Medal dan Defence Medal.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, sebanyak RM1.8 juta telah dibelanjakan YVA untuk 3,671 penerima di seluruh negara pada musim perayaan lalu khususnya veteran ATM berusia 70 tahun ke atas dan balu mereka.
Kata Zulkiflee, JHEV dan YVA berharap sumbangan yang diberikan itu dapat membantu meringankan beban mereka yang terlibat.
Pusat dialisis
Dalam pada itu Zulkiflee yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM berkata, JHEV bercadang menambah lebih banyak pusat dialisis veteran ATM di seluruh negara memandangkan ketika ini terdapat hampir 3,000 pesakit buah pinggang dalam kalangan bekas anggota tentera dan keluarga mereka.
Menurutnya, cadangan itu akan diteliti dengan melihat pada faktor kewangan memandangkan kos sebuah pusat rawatan tersebut berjumlah antara RM400,000 hingga RM600,000.
''Setiap tahun, sebanyak RM24 juta dibelanjakan untuk membiayai kos rawatan pesakit dialisis kalangan veteran ATM dan warisnya dan kita berusaha menambah kualiti perkhidmatan kesihatan tersebut.
''Kos rawatan dialisis itu adalah sebahagian daripada peruntukan rawatan kesihatan seluruh anggota veteran yang berjumlah RM35 juta," katanya.
Tambah beliau, veteran ATM dan waris mereka yang menetap di luar Kuala Lumpur dan Selangor boleh menjalani rawatan di dua buah pusat dialisis YVA di Seri Kembangan dan Batu Caves.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: