Thursday, November 8, 2012

Kreativiti olah kotak minuman


PEMENANG bagi setiap kategori Junior, Senior dan Anugerah Istimewa MRM bergambar beramai-ramai pada akhir majlis.


SEKALI pandang, replika rumah anak patung yang dibina Nur Natasya Amera Azman dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong itu kelihatan biasa sahaja.
Rumah kecil yang dilengkapi katil, meja solek, tingkap dan beberapa perhiasan lain termasuk satu figura anak patung berambut perang itu dipamerkan di satu sudut ruang legar Publika, Solaris Dutamas.
Bagaimanapun, jika dilihat dengan teliti, replika yang dihasilkan pelajar terbabit ada tarikan. Ia sangat kemas dan mempunyai susun atur yang sangat menarik. Itu kelebihan terhadap model kediaman anak patung milik pelajar berusia 11 tahun yang membolehkan Nur Natasya Amera muncul juara bagi kategori Junior dalam program Out of the Carton: Eco Design Competition 2012.
Dilancarkan awal bulan Jun lalu, pertandingan yang terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan institusi pengajian tinggi (IPT) itu mengajak mereka mencabar minda dan berfikir di luar kotak bagi menghasilkan produk yang bernilai daripada kotak minuman yang telah digunakan.
Bagi kategori Junior, ia bertemakan My Favourite Toy manakala Protects What’s Good merupakan tema kategori Senior.
Menurut Nur Natasya Amera, dia hanya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan rekaan tersebut. Idea untuk mencipta rumah anak patung itu timbul lantaran dia sendiri meminati permainan anak patung.
Pentingnya kitar semula
“Saya menggunakan lebih daripada 50 kotak minuman terbuang untuk menghasilkan rekaan ini. Selain mengutip kotak-kotak minuman di sekolah, saya juga meminta ibu membelikan kotak minuman pelbagai jenama,” ujarnya sambil mengakui program tersebut mampu mendidik para pelajar menyedari kepentingan kitar semula.
Kemenangan itu membolehkan Nur Natasya Amera menerima wang tunai bernilai RM3,000, sijil penyertaan, hamper bernilai RM500 serta sebuah bangku yang diperbuat daripada kotak minuman kitar semula bernilai RM2,000 untuk diletakkan di sekolah.
Tempat kedua pula dimenangi oleh dua sahabat baik, Najmi Shafulizan & Amir Khalid dari SK Bandar Tun Razak dengan rekaan bertajuk Keep Clean, Keep Green. Mereka menerima wang tunai RM2,000 dan hamper bernilai RM200 manakala Leong Ka Hei dari SK Assunta 1 menduduki tempat ketiga dan membawa pulang RM1,000 serta sijil penyertaan melalui rekaan Solar Organizer Train yang dihasilkan.
Untuk kategori Junior, penyertaan Lee Jie Teng yang menampilkan rekaan Folding Night Lamp dinobatkan sebagai juara sekali gus meraih wang tunai bernilai RM5,000, lawatan dua hari satu malam ke Singapura, sijil penyertaan dan sebuah bangku daripada kotak minuman kitar semula bernilai RM2,000.
Pelajar dari Malaysian Institute of Art berusia 22 tahun itu mengakui kemenangan yang diperoleh langsung tidak dijangka. Ini kerana dia menyertai pertandingan sekadar untuk mencabar kreativiti diri.
Contoh model
“Saya sangat gembira kerana rekaan yang diilhamkan daripada kipas tangan China itu menarik perhatian para juri. Sebelum menyiapkan rekaan sebenar, saya turut membuat contoh model beberapa kali bagi memastikan keberkesanan produk tersebut,” jelas Jie Teng yang mengambil masa kira-kira tiga minggu menyiapkan Folding Night Lamp itu.
Pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Pasir Mas, Kelantan, Siti Nurhaslinda Kamaruddin yang mencipta Arch Clutch pula memenangi tempat kedua dan menerima wang tunai RM3,000 serta sijil penyertaan manakala rekaan Pencil Case oleh Tan Yien Jieh dan Pang Jia Ling dari The One Academy menduduki tempat ketiga. Mereka memperoleh wang tunai RM2,000 dan sijil penyertaan.
Pertandingan ini dianjurkan buat pertama kalinya oleh Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tetra Pak) dengan kerjasama Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) yang turut mendapat penajaan jenama minuman Delite, Dutch Lady, Homesoy, Marigold, Milo, Seasons dan Yeo’s.
Menurut Pengarah Urusan Tetra Pak (Malaysia, Singapura, Filipina) Sdn. Bhd., Gaine Clarke, pertandingan itu dicipta khusus untuk mencabar kreativiti peserta dalam menukar ‘sampah’ kepada sesuatu yang berharga.
“Kami menerima lebih 200 penyertaan bagi kedua-dua kategori dan sebagai penganjuran sulung, ia boleh dibanggakan. Apa yang pasti, rata-rata peserta berjaya menghasilkan produk yang menarik dan mempunyai faktor wow.
“Lantaran itu, ia sedikit-sebanyak menyukarkan kami dalam membuat penghakiman,” terang Clarke sambil memberitahu pihaknya mungkin menjadikan pertandingan ini sebagai salah satu acara tahunan mereka.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan MRM, Futom Shikh Jaafar turut memuji inisiatif Tetra Pak.
“Kami sangat gembira kerana berpeluang menjalin kerjasama dengan Tetra Pak melalui pertandingan yang menggabungkan inovasi rekaan terbaik dan kreativiti daripada alam sekitar,” ujarnya yang menyokong program-program memupuk bakat anak-anak muda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: