Thursday, November 8, 2012

Inovasi iPod Nano generasi ke-7


GENERASI ketujuh iPod Nano tampil dengan skrin sentuh, ruang simpanan lebih besar dan warna yang lebih terang.


KETIKA mula-mula diperkenalkan oleh Sony sekitar tiga dekad lalu, Walkman telah berjaya memenangi hati jutaan penggemar muzik seantero dunia.
Lebih tepat lagi, stereo peribadi dengan pita kaset itu telah menjadi titik tolak kepada evolusi pemain media digital hari ini.
Pernah menjadi kegilaan remaja suatu ketika dulu, Walkman membolehkan pengguna memainkan kaset hampir di mana-mana sahaja.
Sungguhpun agak besar apabila diklipkan pada tali pinggang pemakainya dan bekalan kuasa bateri yang terhad, ia mendapat sambutan yang hangat, malahan ia dikatakan lebih popular berbanding penggantinya - Discman yang memainkan cakera padat (CD) lagu.
Pada 2001, Apple telah membuka lembaran baharu dalam dunia gajet digital apabila memperkenalkan iPod Nano – pemain media mudah alih yang membolehkan pengguna menikmati muzik MP3 kegemaran mereka menerusi storan dalaman dan bukannya menerusi kaset atau CD.
Inovasi itu menyelesaikan dua kekangan yang sebelum ini wujud iaitu saiz peranti itu sendiri dan masa operasinya. Tanpa mekanisme pemutar yang digunakan di dalam pemain kaset atau CD, saiz pemain multimedia itu dapat dikecilkan sekali gus memudahkannya untuk disimpan.
Ia juga dapat mengurangkan penggunaan kuasa bateri di samping memanjangkan tempoh penggunaannya sebelum baterinya perlu dicaj semula.
Generasi ketujuh
Apple tampil sekali lagi menerusi keluaran iPod Nano generasi ketujuh mereka baru-baru ini. Didatangkan dengan paparan skrin LCD berukuran 2.5 inci dengan resolusi 432 x 240 piksel, iPod Nano itu menawarkan kaedah kawalan pelbagai sentuhan skrin kapasitif yang lebih responsif.
Pengguna juga bukan sahaja boleh mendengar audio dalam format WAV, AAC, MP3, AIFF dan AA, malah boleh menonton video dalam format MP4, M4V dan MOV. Siaran radio juga boleh didengar secara terus.
Dengan storan berkapasiti 16GB, ia sudah cukup untuk memuatkan kira-kira 4,000 buah lagu atau sekitar 16 jam rakaman video. Ini membolehkan pemiliknya menyimpan lagu atau video kegemaran mereka tanpa perlu risau akan ruang simpanan yang tidak mencukupi.
iPod Nano generasi ketujuh itu juga dikatakan mampu membekalkan kuasa untuk memainkan video sehingga 3 jam setengah atau 30 jam untuk memainkan audio.
Sungguhpun iPod dan pemain media mudah alih lain pernah mendapat tempat di hati pengguna, tetapi dengan kecanggihan telefon pintar hari ini yang mampu melakukan pelbagai tugasan termasuk memainkan fail video dan muzik dengan sokongan storan yang besar, penulis tidak pasti berapa lama lagi pemain mudah alih seperti ini mampu bertahan. Apa yang pasti, hanya inovasi yang berterusan mampu memastikan survival produk mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: