Saturday, November 10, 2012

Jangan tersalah pilih

AKHIR-akhir ini saya perhatikan orang lelaki pun turut memberikan pandangan mereka dengan menyertai ruangan ini. Saya tak nafikan memang ada wanita lupa daratan setelah dapat kekasih. Tetapi suka saya tegaskan zaman ini sukar mencari lelaki yang bertanggungjawab sebagai ketua keluarga.
''Kalau lelaki cap wanita sebagai pembohong atau bermain cinta plastik, mereka apa kurangnya, malah lebih teruk lagi," luah Azureen dalam e-melnya.
''Ramai mahu isteri pandai hiburkan suami, taat, sentiasa senyum dan tidak berkira namun suami pun patut tunjuk contoh yang baik. Ini tidak, mereka hanya pandai meminta tapi tidak mahu memberi.
''Sebab perangai suami seperti inilah, maka terdapat wanita yang meluahkan isi hati mereka ke ruangan ini. Jika suami tahu tanggungjawab, sudah pasti ruangan ini tidak akan wujud dan kekal lama.
''Bayangkan ada suami terlalu kedekut dan berkira hinggakan si isteri terpaksa mencuri duit dari dompet suami untuk membiayai makan minum mereka anak beranak. Malah ada ustaz menggalakkan isteri berbuat demikian jika suami terlalu kedekut untuk beri nafkah anak isteri.
''Ada suami sanggup desak isteri terus tinggal di rumah ibunya selepas kahwin hingga menimbulkan perasaan tidak senang dan tidak tenang di hati isteri, apabila kakak dan adik ipar rajin bersantai di bilik tidur mereka tanpa mengira waktu.
''Selepas kahwin sepatutnya suami carikan rumah lain untuk isterinya demi menjaga maruah isteri, tetapi berbeza dengan suami saya, Izat kerana sudah terbiasa, dia langsung tidak fikirkan maruah isterinya, hinggakan sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa sanggup terjah ke bilik kami.
''Walaupun saya dan mertua tidak tinggal sebumbung tapi rumah kami berhampiran membuatkan adik ipar saya bebas masuk ke rumah kami bila-bila masa walaupun setelah ditegah. Mereka juga datang ketika kami keluar bekerja, sesuka hati mengambil apa saja benda yang diingini tanpa meminta izin terlebih dulu.
''Lebih menyakitkan hati, mereka bukan sahaja ambil terus benda yang mereka suka dari rumah kami bahkan enggan memulangkan semula termasuklah pakaian saya. Walaupun saya mengadu pada mertua dan suami tetapi perkara buruk itu masih berlaku.
''Jadi di sini saya ingin bertanya, di manakah tanggungjawab suami dalam memelihara dan melindungi maruah isterinya? Saya pendam kemarahan saya hinggakan perbuatan mereka jadi malapetaka dalam hidup kami. Akhirnya pasti kami suami isteri berbalah.
Kekasih gelap''Walaupun kami masih suami isteri ketika itu, tapi hidup saya tidak bahagia kerana Izat lebih suka berfoya-foya, simpan kekasih gelap dan sebagainya. Pernah kekasihnya hamil tapi dia lepas tangan tak mahu bertanggungjawab, apa lagi bila diajak nikah.
''Sepatutnya lelaki yang telah mempunyai anak berfikir berpuluh-puluh kali sebelum menghamilkan anak orang. Apa kata jika masalah yang sama terjadi kepada diri sendiri, contoh anak perempuannya. Jangan lupa setiap perbuatan jahat kita akan ada pembalasan sama ada lambat ataupun cepat. Ketika itu kesalan tidak berguna lagi.
''Kepada lelaki jika terasa tersalah pilih isteri, dia boleh berkahwin beberapa orang lagi dengan memberi pelbagai alasan. Tetapi tidak kepada wanita, jika dia salah pilih suami, dia terpaksa melaluinya walaupun dalam hati kecilnya ada kesalan. Walaupun ada yang sanggup minta cerai, tetapi ia bukan mudah diperolehi jika tidak terkeluar dari mulut suami.
''Lelaki, biarpun dia bencikan isterinya seribu kali, tetapi dia tidak akan ceraikan isterinya dengan mudah, sebaliknya dia gantung atau berlengah semata-mata untuk menyusahkan hidup isterinya, seperti yang saya lalui sekarang.
''Zaman ini ramai isteri terpaksa bersengkang mata mencari rezeki lebih dengan melakukan pelbagai kerja sampingan untuk menyenangkan hidup anak-anak dan suami. Sebabnya suami tak mahu keluar duit belanja atau beli makan minum anak-anak kerana dia tahu isterinya bekerja.
''Lelaki sekarang bukan macam zaman datuk nenek kita dulu yang menyara keluarga walaupun gaji tak sebanyak mana.
''Sebaliknya lelaki zaman ini mencari isteri yang berkerjaya supaya mereka tak perlu bersusah payah nak bagi duit pada isteri, sebab isteri ada duit sendiri, walaupun hukumnya berdosa jika suami tak beri nafkah pada isteri.
"Tak cukup itu, suami juga akan suruh isteri hantar anak-anak ke sekolah, kelas tuisyen dan sebagainya, mahupun mengambil kad laporan di sekolah kerana dia terlalu sibuk dengan urusan lain yang tak pernah habis.
''Tidak dinafikan ada isteri yang melancarkan perang mulut terhadap suaminya, mengugut akan tinggalkan suami atau lebih berani halau suami keluar rumah kerana sudah tidak sanggup menanggung bebanan gara-gara sikap lepas tangan suami.
''Bersyukurlah isteri yang dapat suami bertanggungjawab.
''Memang benar jika isteri tinggalkan suami, dia akan dicap nusyuz tapi bagaimana pula jika suami meninggalkan isteri dan anak-anak? Jadi sebelum mendakwa isteri menyusahkan hidup anda, tolong cermin diri, siapa lebih dulu menyusahkan isteri.
"Bagi wanita apabila dia berkahwin, itulah suaminya dunia akhirat, tetapi suami setelah berkahwin sering mengucapkan dia ada tiga kekosongan yang perlu diisi.
''Wanita tidak pernah menyalahkan hukum kerana memang wajib isteri taat dan patuh kepada suami, tapi suami jangan pula menyalahgunakan hukum untuk kepentingan diri sendiri. Bertindaklah sebagai ketua keluarga yang baik dan bertanggungjawab serta pada masa sama menjaga maruah isteri dan anak-anak.'' Itu nasihat Azureen bersandarkan pengalaman pahitnya yang hingga kini masih digantung tak bertali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: