Walaupun ketika itu usianya baru menjengah 21 tahun, Siti Azwani Abu Bakar tidak kekok menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Apabila diajukan soalan tidakkah dia berasa masih terlalu muda untuk bergelar isteri apatah lagi ketika itu dia masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti Azwani atau lebih mesra disapa Mimi menjelaskan, hari ini senario berkahwin muda bukan lagi satu perkara pelik malah semakin ramai menamatkan zaman bujang ketika masih menuntut.
Tambahnya, tidak menjadi masalah sekiranya mereka (orang yang berkahwin muda) pandai membahagikan masa sekali gus beranggapan bahawa tanggungjawab yang digalas bukanlah satu beban.
"Berbicara soal tanggungjawab, memang semua tahu apabila kita berkeluarga ada tanggungjawab tambahan yang perlu digalas berbanding jika masih bujang.
"Namun, saya tidak melihat ia sebagai beban, malah ia suatu kurniaan buat saya dan perkahwinan itu juga bukan penghalang untuk saya bergerak aktif sebagai seorang pelajar," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Begitupun, ulas Mimi, pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Sistem Maklumat tidak dapat diteruskan disebabkan dirinya yang mengalami alahan teruk ketika mengandung sulung.
Disebabkan itu juga Mimi terpaksa berhenti belajar. Sebaik sahaja habis berpantang selepas melahirkan anak sulungnya, Mimi meneruskan pengajiannya di dalam bidang pengurusan perniagaan dan pemasaran di salah sebuah kolej swasta di ibu negara.
Kini dia yang memegang ijazah sarjana muda dalam bidang yang sama sudah boleh tersenyum bangga kerana walaupun tidak dapat meneruskan pengajiannya di UiTM tetapi Mimi tetap berjaya menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar.
Katanya, ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anak-anaknya berjaya dan disebabkan itu dan ditambah pula dengan rasa tanggungjawabnya sebagai seorang anak untuk memenuhi impian kedua orang tuanya, Mimi nekad untuk menyambung pelajaran hingga memperoleh segulung ijazah.
Berkat usaha gigih serta dorongan daripada suami, keluarga dan tidak ketinggalan keluarga mentuanya, hari ini Mimi berjaya menjawat jawatan sebagai pengarah urusan di syarikat miliknya sendiri bernama Limpahan Setia Sdn. Bhd.
Baru beroperasi dua tahun yang lalu, syarikatnya yang mengeluarkan produk kecantikan berjenama V3 membuktikan anak kelahiran Batu Pahat, Johor, ini merupakan seorang individu yang cekal dan bersemangat tinggi.
Tidak hanya mahu bergoyang kaki walaupun hakikatnya dia boleh berbuat demikian tetapi Mimi tetap ingin meneruskan cita-citanya menjadi seorang usahawan berjaya.
Tidak pernah sesekali menafikan turut mendapat tunjuk ajar daripada suami tersayang dan juga keluarga mertuanya, Mimi juga sebenarnya turut mempunyai pengalaman tatkala membantu mertuanya menguruskan perniagaan mereka.
"Sebenarnya bidang pengajian yang diambil di UiTM dahulu merupakan bidang yang kurang diminati kerana ia berkaitan dengan kejuruteraan.
"Tetapi Alhamdulillah apabila di kolej, bidang yang diambil merupakan bidang yang diminati sekali gus menjadikan saya begitu teruja untuk keluar bekerja.
"Hari ini apa yang diimpikan telah pun tercapai dan kesemua ini selain daripada usaha sendiri, kejayaan ini juga merupakan berkat doa serta dorongan daripada seluruh ahli keluarga termasuklah keluarga mertua," sambungnya lagi.
Ketika ditanya mengenai penglibatannya dalam bidang perniagaan, kata Mimi, segala yang berlaku begitu pantas dan di luar dugaan.
Ini kerana katanya, selain begitu meminati bidang perniagaan, dia terlebih dahulu didedahkan dengan dunia perniagaan oleh ahli keluarga mentuanya.
Malah dia juga pernah menimba pengalaman dengan bekerja di syarikat mertuanya sehinggalah satu hari dia melihat akan peluangnya untuk meneraju syarikatnya sendiri.
Ini kerana suaminya yang juga merupakan seorang usahawan berjaya tidak pernah melarang apatah lagi begitu menyokong penuh akan keputusannya itu.
"V3 dikeluarkan kerana saya ingin berkongsi rahsia kecantikan dengan semua wanita di luar sana.
"Saya percaya semua wanita di luar sana ingin kelihatan cantik dan kemunculan saya di dalam bidang kecantikan adalah untuk memberi satu lagi pilihan kepada mereka untuk mereka kelihatan cantik.
"Alhamdulillah setakat ini sambutannya begitu menggalakkan," katanya.
Bercerita pula mengenai produk keluaran syarikatnya itu, ulas Mimi, setakat ini syarikatnya hanya mengeluarkan 12 produk kecantikan yang terdiri daripada pencuci muka, krim rawatan set 2 dalam 1, serum vitamin C, krim BB, sabun emas 999, pembersih susu, lulur manggis, lulur strawberi, lulur nanas, lulur asan jawa, dan lulur halia.
Pada masa hadapan pihaknya akan mengeluarkan rangkaian produk kecantikan yang terdiri daripada krim pelindung matahari dan juga toner muka.
Sewaktu ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini ternyata personaliti ini telah dikurniakan satu pakej lengkap sebagai seorang wanita.
Tidak hanya sekadar memiliki tubuh badan yang begitu cantik dan langsing seperti yang diidamkan setiap wanita tetapi wanita ini turut dikurniakan wajah yang cantik.
Jika dilihat daripada kulitnya pula ternyata ibu kepada dua orang cahaya mata ini memiliki kulit yang putih gebu.
Jika dilihat sekali imbas mungkin mereka akan menyangka Mimi merupakan anak kacukan tetapi setelah 'dirisik' Mimi memberitahu dia merupakan anak Melayu jati dan begitu juga kedua orang tuanya.
Ditanya juga mengenai kecantikan yang dimilikinya dan apakah rahsianya, jelas Mimi dahulu kulit mukanya bermasalah dan dipenuhi dengan jerawat.
Tetapi setelah mencuba pelbagai produk kecantikan akhirnya dia telah menemui satu produk yang betul-betul serasi dan sesuai dengan kulitnya.
Yang pasti, anak bongsu daripada sembilan beradik ini memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas rahmat yang dianugerahkan kepadanya dan dia juga menyifatkan kejayaannya hari ini adalah lambang pengorbanan semua pihak termasuk dirinya sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: