Thursday, November 15, 2012

Inovasi robot ciptaan pelajar



COMEL. Itu perkataan pertama yang tergambar di fikiran apabila melihat sebuah robot kecil berwarna biru dengan mata besarnya yang bulat. Dihasilkan oleh pelajar dari Saint Petersbug, Rusia, ia diberi nama Eyesbot.
Menurut Arina Rossomakhina, 14, robot itu mesra dan pandai bergaul. Ia boleh berkomunikasi dengan manusia melalui gerakan yang dibuat terhadap matanya.
“Ini adalah robot kecil asing yang muncul di bumi secara kebetulan. Ia telah dilupakan oleh makhluk asing yang membawanya datang ke planet kita,” tutur Rossomakhina dalam nada gurauan.
Eyesbot merupakan salah satu robot yang menyertai Kejohanan World Robot Olympiad (WRO 2012) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid bermula 9 hingga 11 November lalu.
Sebanyak 405 pasukan dari 30 buah negara menyertai kejohanan yang mencatat sejarah dari aspek penyertaan terbesar sejak ia pertama kali diadakan pada tahun 2004 di Singapura. Ini diikuti Thailand pada 2005, China (2006), Taiwan (2007), Jepun (2008), Korea (2009), Filipina (2010) dan Emiriyah Arab Bersatu (2011).
Penyertaan secara besar-besaran itu membuktikan bahawa WRO berjaya meningkatkan minat dalam kalangan pelajar terhadap bidang sains, teknologi, robotik serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

PARA pengunjung WRO 2012 teruja melihat salah sebuah inovasi robot yang dihasilkan oleh peserta pertandingan.


Selain itu, kejohanan tersebut membolehkan peserta mendapatkan pelbagai dimensi pengetahuan melalui penggunaan teknologi inovatif dan penyelesaian masalah kreatif. Lebih daripada itu, ia juga platform terbaik untuk menyediakan pelajar yang mampu menghadapi cabaran global dalam abad ke-21.
Peningkatan minat
Perkara itu diakui oleh David Gilday, 48, pakar robotik Mindstorms yang ditemui Kosmo! pada kejohanan tersebut. Ujar Gilday, secara keseluruhan penganjuran WRO mampu menyuntik rasa teruja untuk kanak-kanak dan para pelajar untuk mendalami bidang berkenaan.
“Ini kali pertama saya datang ke Malaysia. Tetapi, respons yang diterima terutama pengunjung cilik yang datang ke booth kami sangat hebat. Mereka begitu seronok melihat robot kami yang dicipta untuk menyelesaikan masalah kiub rubik dengan pantas.
“Saya percaya, pertandingan sebegini berjaya melahirkan semangat kerjasama yang tinggi untuk menghasilkan ciptaan terbaik dan praktikal,” kata Gilday merangkap Ketua Jurutera Bahagian Pemprosesan ARM Ltd., sebuah syarikat seni bina dunia digital yang berpangkalan di United Kingdom.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sasbadi Sdn. Bhd., Law King Hui berkata, dalam persekitaran kini yang sentiasa berkembang pantas, dunia memerlukan seseorang yang mempunyai tahap kemahiran yang membolehkan mereka menyelesaikan masalah kompleks dan rumit.
“Inilah tanggungjawab pendidikan masa kini iaitu untuk menyediakan pelajar yang kreatif dan berinovasi dalam pelbagai aspek kehidupan,” ungkap King Hui.

SALAH satu daripada kumpulan yang mewakili Malaysia iaitu SMK Seri Bintang, Kuala Lumpur berentap dalam kategori terbuka sekolah menengah rendah.


Setiap pasukan yang diwakili tiga peserta akan bersaing dalam tiga kategori berbeza iaitu Regular, Open dan GEN II Football.
Bagi kategori Regular, peserta perlu mencipta robot yang diprogram untuk melengkapkan beberapa siri ujian. Setiap pasukan dibahagi kepada tiga kumpulan umur dengan acara berbeza iaiatu Robot Organizer for Elementary School (sekolah rendah), Robot Columbus for Junior High School (menengah rendah) dan Robot Van Gogh for Senior High (menengah atas).
Untuk kategori Terbuka pula, peserta dikehendaki menyiapkan penyelesaian robotik tersendiri berdasarkan tema spesifik iaitu Robots Connecting People manakala kategori GEN II Football menyaksikan pertandingan robot yang diprogram seperti permainan bola sepak.
Pamer inovasi
Antara negara yang bertanding termasuklah Afrika Selatan, Australia, Bahrain, Brunei, China, Costa Rica, Denmark, Filipina, Jerman, Ghana, Greece, Hong Kong, India, Indonesia, Iran, Jepun termasuk negara tuan rumah.
Salah satu wakil Brunei adalah dari Sekolah Rendah Muhammad ‘Alam Legion hadir dengan projek yang dinamakan The School District Package Organizer yang bertanding dalam kategori Regular, Robot Organizer.
Jurulatihnya, Boby Zakri Abdul Hamid, 34, memberitahu, projek yang dicipta seperti sistem sebuah kilang mini tersebut mengambil masa selama enam minggu untuk disiapkan.

SEBAHAGIAN peserta tidak melepaskan peluang menonjolkan kehebatan robot ciptaan masing-masing pada Kejohanan WRO 2012 baru-baru ini.


WRO merupakan kemuncak kepada Pertandingan Robotik Kebangsaan yang dianjurkan sejak 2005 oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Sasbadi Sdn. Bhd. dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi program perkongsian pintar antara kerajaan dan swasta.
Tahun ini Malaysia diwakili oleh 56 buah pasukan yang bertanding dalam pelbagai kategori.
Penaja global WRO 2012 adalah Lego Education, National Instruments dan HiTechnic manakala penaja lain termasuklah Sunway Group, Motorola Solutions Foundation, Permodalan Nasional Berhad, Maxis Berhad, The Instituition of Engineering & Technology Malaysia dan UMW Toyota Motor Sdn. Bhd.
Kejohanan ini telah dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lalu.
Penganjuran WRO 2013 pula akan berlangsung di Jakarta, Indonesia. Untuk maklumat lanjut berkaitan kejohanan tersebut, layari laman web www.wroboto.org.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: