Thursday, November 15, 2012
Tomato ceri tanah rata
AZMI MOHAMED, 32, akan bangun setiap hari seawal pukul 6.30 pagi untuk ke tapak Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang terletak di Serdang, Selangor.
Seperti biasa, setiap pagi dan petang, lelaki yang berasal dari Kelantan itu mengharapkan hasil terbaik dari tanamannya. Perkara yang membuatkannya gembira sewaktu hendak memetik hasil itu tentunya apabila melihat gugusan tomato ceri yang ranum berjurai di tangkai pokoknya.
Pokok-pokok yang subur dalam polibeg itu nyata terjaga dengan baik hinggakan hampir 95 peratus buahnya dikategori sebagai gred A.
Tomato yang telah dipetik itu dapat dijual pada harga antara RM2.50 hingga RM3 bagi setiap satu bungkusan yang mempunyai berat kira-kira 250 gram.
Bagi mereka yang biasa melihat kebun tomato ceri di tanah tinggi, tentu sukar untuk percaya tentang pencapaian Azmi dan tenaga kerjanya yang lain. Selalunya, tomato ceri yang ditanam di tanah rata hanya membuahkan hasil gred A lebih kurang 75 peratus.
Bebas racun
Azmi yang mengusahakan ladang secara berseorangan mengusahakan tanaman di situ dengan menggunakan teknik yang dipelajari ketika menyertai program inkubator anjuran Jabatan Pertanian Serdang (JPS).
Ditanam di dalam struktur khas untuk pertanian, kebun Azmi itu tidak menggunakan sebarang racun serangga mahupun baja kimia.
Bagi mengawal serangan makhluk perosak, dia menggunakan bahan seperti minyak neem (Azadirachta indica), serai wangi atau bawang putih.
Sebagai panduan, Azmi memastikan sesuatu bahan itu mempunyai bau yang kuat, bergetah dan bersifat memedihkan supaya boleh bertindak sebagai racun serangga yang berkesan.
Air berbaja
Tanpa perlu disiram, dia mengamalkan kaedah pertanian fertigasi, setiap pokok tomato ceri disalurkan terus dengan air yang dicampur baja.
Selain itu, apabila pokok mula berbuah, pucuk-pucuk pokok yang tunduk ke bawah kerana berat buah akan melilit batang pokok dan diikat kembali ke atas.
Kebun yang telah diusahakan selama setahun lebih itu telah membuahkan hasil sebanyak lima kali. Selain tomato ceri, ladang TKPM juga menanam cili dan tembikai.
Baja yang digunakan merupakan baja organik yang dikenali sebagai plant booster. Ia merupakan hasil kajian JPS, menggunakan bahan organik yang diperam sehingga menjadi cecair.
“Plant booster menggunakan bahan yang murah antaranya ialah pisang, belacan, susu tepung dan banyak lagi bergantung pada kandungan nutrisi yang dikehendaki,” terang Pegawai Pertanian JPS, Wan Mohamad Zulkarnain Baharudin, 31.
Penggunaannya adalah mengikut nisbah 10 mililiter (ml) plant booster yang dicampur dengan seliter air. Secara berkala, kandungan plant booster ditambah 10ml setiap dua minggu sehingga mencapai maksimum 50ml.
Menurut Azmi, jika banyak bersabar dan rajin dalam bidang pertanian, sudah pasti akan mendapat hasil yang lumayan. Selain itu, teknik yang betul dan tepat juga amat perlu bagi memastikan kualiti hasilnya.
Melihatkan peluang tersebut, Bahauddin Mohamad, 40, yang berasal dari Johor tidak kekok untuk belajar teknik pertanian melalui program inkubator yang memakan masa lapan bulan.
Dia yang sebelum ini bekerja sebagai eksekutif sekretariat di Malaysia Airport Holdings Berhad telah lima bulan mengikuti program tersebut.
Bahauddin dan tiga lagi rakan-rakannya telah berjaya menanam pokok tomato yang membuahkan hasil yang terbaik sebanyak tiga tan sekali gus mendapat hasil bersih lebih kurang RM21,000.
“Saya tidak menyesal kerana bermula dalam bidang pertanian pada usia begini. Malah, ia adalah waktu yang tepat,” kata Bahauddin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: