GADIS berusia 21 tahun itu bersikap malu-malu ketika ditemu bual, namun dia tetap memberikan respons terhadap soalan yang saya ajukan.
Empunya diri, Maryam merupakan gadis Kemboja dari Kampung Samrong. Berpakaian baju kurung serba biru pada hari tersebut, gadis itu kelihatan anggun. Ironinya, baju itu amat disayangi kerana ia dibeli ketika dia bekerja di Malaysia pada tahun 2001.
Pada usia 17 tahun, ketika anak-anak gadis di negara ini berkira-kira melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, Maryam pula berkelana ke negara orang demi sesuap nasi.
Berbekalkan pendidikan selama sembilan tahun di peringkat sekolah, anak kedua daripada lima adik-beradik itu memberanikan diri mencari ejen pekerjaan di bandar Phnom Penh.
Nasibnya baik dengan kelulusan yang ada, dia ditawarkan untuk bekerja di luar negara iaitu di sebuah kilang elektronik di Pulau Pinang.
"Saya berasa takut juga apabila kali pertama berpisah dengan keluarga. Tambahan pula terpaksa bekerja di Malaysia yang persekitarannya begitu asing kepada saya selain masalah bahasa.
"Atas faktor ingin meringankan beban keluarga, saya kuatkan tekad. Akhirnya saya bekerja hampir empat tahun di Pulau Pinang," katanya ketika ditemui di kampung halamannya baru-baru ini.
Bekerja di Malaysia menerusi khidmat ejen, satu pergorbanan perlu dibuat iaitu gaji bulanan dipotong setiap bulan selama dua tahun. Maryam yang ketika itu menerima gaji sebanyak RM1,000 perlu membuat bayaran kepada ejen sebanyak RM300 sebulan.
Bantu keluarga
Setelah tamat kontrak, dia pulang semula ke kampung halamannya dan kini membantu keluarga menjalankan perniagaan kedai minuman secara kecil-kecilan.
Hasil bekerja di Malaysia, Maryam boleh berbahasa Melayu. Walaupun tidak begitu fasih, ia sangat membantu sesi temu bual itu kerana daripada 1,000 penduduk di kampung tersebut, kurang 10 orang yang boleh berbahasa Melayu.
Misi EZ Kembara
Pertemuan saya dengan Maryam pada Hari Raya Aidiladha lalu kerana mengikuti program keluarga angkat anjuran EZ Kembara Sdn. Bhd. selama dua hari di kampung tersebut.
|
|
Turut bersama saya, tiga sahabat iaitu Raja Muhammad Ariff Raja Adnan dan isteri, Suri Hayati Mohamad serta jurukamera ntv7, Mohamad Hafiz Mat Rozli.
Perbezaan bahasa merupakan masalah besar kepada kami semua. Perbicaraan kami umpama ayam dan itik, sukar untuk memahami apa yang masing-masing ingin sampaikan.
Bagaimanapun, kami semua masih mampu mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Islam.
Di kampung ini, majoriti kaum wanitanya bergelar suri rumah, manakala lelaki sebagai pesawah atau nelayan. Dalam kalangan mereka masih ramai yang dihimpit kemiskinan.
Bahkan, ada rumah penduduk yang seakan-akan mahu menyembah bumi. Rumah berdinding dan berlantaikan papan merupakan pemandangan biasa di kampung itu.
Harapan
Dari segi pendidikan, keutamaan hanya diberikan dalam mata pelajaran bahasa Khmer dan pendidikan Islam. Justeru, tidak hairanlah, kebanyakan cita-cita anak-anak mereka sekadar menjadi ustaz atau ustazah.
"Saya menghantar anak lelaki ke sekolah agama dengan harapan dia dapat melanjutkan pengajian di Madinah kelak. Ketika ini, hanya tiga orang anak kampung ini yang belajar di Madinah," kata Aishah, 27, salah seorang penduduk yang ingin melihat anaknya menjadi guru agama.
Kewangan merupakan satu penghalang besar kepada Aishah, sekiranya anaknya itu ingin melanjurkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Untuk mencapai cita-cita itu, mereka perlu menghantar anak-anak bersekolah di sekolah agama terdekat di bandar Phnom Penh.
Sudahlah masa perjalanan dua jam setengah dari kampung itu ke Phnom Penh, ibu bapa perlu membayar RM200 sebulan bagi keperluan asrama dan belajar.
Bagi anak yang cerdik barulah kerajaan Kemboja memberikan pendidikan percuma kepada mereka.
Dari segi keagamaan, penduduk di kampung tersebut mengharapkan bantuan masyarakat Islam luar agar datang ke kampung tersebut untuk membimbing mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: