Monday, November 12, 2012

Kebangkitan Islam Kemboja selepas Pol Pot



DI ruang dapur yang sempit di bawah sebuah rumah papan, Aishah, 27, ibu kepada seorang anak lelaki berusia 11 tahun kelihatan sedang memasak air menggunakan dapur kayu. Pada masa sama, dia menanak nasi putih kemudian menggoreng telur itik.
Kesemua juadah itu perlu disiapkan pada awal pagi sebelum langit cerah kerana selepas bersarapan, dia dan suaminya akan turun ke sungai menangkap ikan.
"Sebagai seorang isteri, saya bukan sahaja perlu membuat kerja-kerja rumah, malah membantu suami menangkap ikan. Kami akan menaiki sampan selama dua jam untuk sampai ke lokasi menangkap ikan iaitu di Sungai Ochok bersempadan dengan Vietnam.
"Antara spesies ikan yang biasa kami dapat termasuk haruan, keli, toman dan lampam. Setelah dijual, dalam sehari purata pendapatan kami sekitar RM10," katanya yang pulang ke rumah pada pukul 4 petang.
Begitulah antara suasana Kampung Samrong, Takeo, Phnom Penh, Kemboja tatkala azan Subuh berkumandang pada pukul 4.40 pagi.
Bagi golongan lelaki di perkampungan Islam itu, mereka bergegas dahulu ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah. Pagi itu, kira-kira 100 orang menunaikan solat secara berjemaah. Sebaik selesai solat, sebahagian mereka bertaburan keluar mencari rezeki.
Mereka perlu menyediakan diri untuk ke sawah atau ke sungai. Bunyi deruan enjin Kubota iaitu jentera untuk membajak sawah memecah keheningan pagi itu. Sesekali terdengar percakapan antara mereka dalam bahasa Khmer.
Di beberapa buah rumah yang kedudukannya agak rapat antara satu sama lain kelihatan pula wanita-wanita sedang memilih dan menyiang ikan-ikan kecil yang dibawa suami dari sungai bagi dijadikan makanan ikan peliharaan di dalam kolam.
Kaum wanita lain pula sibuk melakukan rutin harian sebagai suri rumah seperti menyapu, membasuh pinggan mangkuk atau mengemas rumah.
Kemudahan asas
Penulis yang pertama kali berkunjung ke perkampungan itu pada Hari Raya Korban lalu mendapati keadaannya umpama Malaysia, 30 tahun yang lalu.
Memakan masa perjalanan selama dua jam setengah dari Phnom Penh, rumah-rumah di perkampungan itu dibina agak rapat.
Rumahnya dibina tinggi lengkap bersama tangga. Di bawah rumah terdapat pangkin untuk mereka beristirehat atau makan. Sesetengah rumah, di bawah rumah terdapat kandang lembu, reban ayam dan angsa.
Laluan di kampung itu masih menggunakan tanah merah atau laluan kampung sahaja. Kampung itu dikelilingi sawah padi yang terbentang luas serta sungai yang lebar menyambung sehingga ke Vietnam.

SEORANG wanita membuka perniagaan kecil-kecilan di depan rumahnya di Kampung Samrong.


Selain pergi ke sawah, ada juga yang menjadi nelayan atau menternak lembu, angsa, ayam dan itik.
Dari segi kemudahan, kampung tersebut baru saja mempunyai bekalan elektrik sejak setahun lalu. Bagaimanapun, bekalan air masih diperoleh dari sungai. Penduduk mengepam air sungai masuk ke dalam kolah di rumah masing-masing untuk digunakan semasa mandi. Airnya agak keroh.
Kewujudan tempayan-tempayan besar di setiap rumah juga adalah pemandangan biasa di kampung berkenaan.
Sejarah
Ketua Kampung Samrong, Yusof Abdullah, 61, berkata, kampung berkenaan dibuka pada tahun 1979 iaitu selepas berakhirnya era kekejaman Pol Pot yang menguasai negara berkenaan selama tiga tahun bermula dari tahun 1976.
"Pada peringkat awal cuma ada lebih 60 keluarga, namun kini bilangannya meningkat kepada 175 keluarga atau kira-kira 1,000 penduduk. Sumber ekonomi utama penduduk kampung ialah tanaman padi dan perikanan.
"Golongan muda pula ada yang berhijrah ke bandar seperti Phnom Penh untuk bekerja di kilang-kilang dan sebahagian kecil merantau ke luar negara seperti Malaysia," katanya.
Yusof yang merasai keperitan hidup pada zaman komunis Pol Pot menyatakan, era gelap itu turut merencatkan perkembangan pendidikan dan agama Islam. Ketika pemerintahan diktator Pol Pot dianggarkan antara satu hingga tiga juta penduduk Kemboja mati.
Pada ketika itu, penduduk bukan sahaja takut untuk keluar rumah, malah tidak dibenarkan melakukan amalan agama seperti solat dan puasa.
Apabila negara Kemboja bebas daripada pengaruh rejim Pol Pot, orang ramai mulai berhijrah ke kampung berkenaan yang pada waktu itu masih tiada penghuni.
Selepas 30 tahun dibuka, Yusof berkata, kemajuan ekonomi penduduk kampung masih berada pada tahap rendah dan kemiskinan masih merantai kehidupan harian mereka.

KAUM wanita mengasingkan ikan-ikan kecil untuk diberi makan ikan yang diternak di kolam.


Masjid di kampung berkenaan juga mungkin tidak wujud hari ini jika tidak kerana kemurahan hati seorang rakyat Malaysia yang mengeluarkan dana bagi mendirikannya.
Pendidikan
Tanaman padi yang dituai dua kali semusim juga sekadar mampu untuk menampung keperluan harian penduduk. Meskipun mempunyai kawasan sawah padi yang luas, masalah kos serta harga peraih yang rendah menekan kehidupan mereka. Penduduk kampung terpaksa meminjam wang daripada pihak tertentu dan perlu membayarnya setelah memperoleh hasil daripada penjualan padi.
"Kita di sini sekadar cukup makan, namun kehidupan sekarang jauh lebih baik berbanding zaman Pol Pot. Dari segi pendidikan kita jauh ketinggalan kerana di kampung ini para pelajar hanya diajar bahasa Khmer dan pendidikan agama sahaja.
"Bilangan guru juga agak menyedihkan kerana terdapat tiga orang sahaja. Bagaimanapun, 40 orang pelajar berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, manakala tiga orang berjaya pergi ke Madinah," katanya.
Seorang penduduk, Menjan, 29, berkata, suaminya mengerjakan sawah seluas 1.5 hektar sebanyak dua kali semusim.
"Setiap kali musim menuai kami memperoleh sebanyak lima tan padi dengan setiap tan berharga RM170. Pendapatan yang diperoleh itu, belum lagi ditolak sewa Kubota, anak benih dan lain-lain," katanya yang merupakan seorang suri rumah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: