Cucu ugut cederakan nenek guna sabit
Tertuduh (dua, kiri) diiringi polis keluar dari mahkamah selepas hukuman diputuskan, semalam.
KOTA BHARU – Tindakan seorang penganggur mengugut mencederakan neneknya dengan sabit mendapat balasan apabila dia dihukum 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman terhadap Wan Muhamad Fakhriain Wan Mohd Azhar, 21, dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Dia didakwa mengugut Zainab Yaakub dengan sabit di sebuah rumah di Jalan Bayam di sini, jam 11 pagi, 19 November lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bersalah menyebabkan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor memutuskan hukuman itu dan berkuat kuasa daripada tarikh dia ditahan.

Sebelum itu, Wan Muhamad Fakhriain pergi ke tempat kerja ibunya dan mengamuk di sana sebelum disuruh pulang tetapi mengamuk pula di rumah serta cuba mencederakan Zainab dengan sabit.

Zainab yang takut dengan perlakuan agresif cucunya itu bertindak melaporkan kepada polis. Tertuduh ditahan hari sama. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam.