Sunday, November 4, 2012

Bukan untuk lelaki saja

SEDIA...kapal mengambil kedudukan untuk mula bertanding.
SEDIA...kapal mengambil kedudukan untuk mula bertanding.
KETIKA tiba di limbungan milik Royal Selangor Yatch Club, Port Klang, penulis melihat sebahagian besar kru yang menyertai Festival Pelayaran baru-baru ini, sibuk membuat persiapan sebelum belayar.
Ada yang memeriksa enjin manakala sebahagian lagi mengetatkan tali di sekeliling bot yang mengikat layar pada tiang di sebelah kiri bot.
   
  • Foto SEMPAT...kru kapal wanita bergambar sebelum berlayar.
  • Foto KERJASAMA...amalan kru kapal.
  • Foto SENGIT...persaingan antara kapal yang bertanding.
Bagi penulis, peluang menyaksikan sukan layar secara dekat adalah pengalaman baru kerana sebelum ini hanya sempat menontonnya di televisyen.

Sebanyak tujuh kapal layar membabitkan lebih 40 kru kelihatan bersemangat membelah laut dengan angin tenang di awal perlumbaan, membuatkan penulis tertanya-tanya apakah uniknya sukan terbabit?

Terselit sepasukan wanita di celah-celah peserta yang majoritinya lelaki membuatkan mereka menjadi perhatian. Tidak langsung mendengar luahan resah, mereka lebih teruja menyertai rakan lain yang mula belayar menuju ke tengah laut.

Menurut kru wanita, Jiena Abdul Razak, 30, dia melihat sukan berkenaan tidak khusus untuk lelaki saja kerana ia lebih bergantung kepada skil dan kemahuan individu.

“Ramai tidak menyedari, sukan ini sebenarnya universal. Ia tidak pernah mendiskriminasikan sesiapa yang ingin menyertainya.

“Andai wanita juga berminat serta ada kesungguhan untuk mempelajari selok-belok pelayaran, mereka juga mampu menjadi ‘skipper’ (kapten) profesional,” katanya.

Dia berkata, sejak mengikut bapanya yang aktif dengan sukan pelayaran kerana pernah berkhidmat dengan tentera laut, dia jatuh cinta dengan sukan terbabit.
Namun dia belum ada keyakinan sepenuhnya untuk mengendalikan bot layar secara sendiri.

“Ayah saya bekas anggota tentera laut dan kebolehan mengemudi kapal layar antara kemahiran dimiliki. Setiap kali ada masa lapang, dia akan belayar dan membawa saya bersama.

“Saya selesa di atas kapal, sejak itu saya teruskan minat ini dengan meramaikan lagi pembabitan rakan,” katanya.

Rakannya, Farina Azman, 32, berkata pembabitannya dalam sukan itu bermula sebaik dipelawa Jiena menyertai sukan terbabit.

“Memang pada mulanya saya keberatan, maklumlah terpaksa berpanas dan bekerja keras untuk mengemudi kapal. Namun memikirkan ia sejenis sukan air, saya mencubanya dan akhirnya ia tidaklah sesukar mana,” kata anak jati Johor itu.

Farina yang juga pengusaha spa berkata, kejohanan Merdeka Cup Pangkor Laut Race pada Ogos lalu, lebih mencabar berbanding festival terbabit.

“Festival pelayaran ini santai dan masanya jauh lebih singkat daripada kejohanan di Pangkor.

“Bayangkan, kami perlu berada lebih 12 jam di atas kapal dan belayar dari Pelabuhan Klang hingga ke Pulau Pangkor, Perak, banyak menguji ketahanan fizikal serta mental saya.

“Malam pula sangat gelap dan hanya kelihatan langit dan bunyi ombak laut, menyebabkan saya berasa sedikit gementar,” katanya.

Pelayar novis, Sharazad Saiful Bahri, 27, tidak menafikan mungkin ramai enggan menyertai sukan itu kerana memikirkan hobi terbabit mahal.

“Sebenarnya ia mahal kalau ingin memulakan sendirian tanpa bergantung kepada sesiapa kerana peralatan serta kapal itu mahal. Namun kalau kita bergerak bersama rakan atau persatuan, jumlah terbabit tidak membebankan.

“Sukan ini mempromosi kerja secara berpasukan, selain mengasuh diri supaya mahir mengemudi kapal layar kerana setiap kru ada peranan penting,” katanya yang menyertai sukan terbabit enam bulan lalu.

Turut berada dalam pasukan sama ialah pengurus swasta, Irsyad Ismail yang pernah men­jadi kru kapal layar tetapi terpaksa meninggalkan sukan terbabit lebih 15 tahun lalu untuk memberi sepenuh komitmen kepada pengajian.

“Saya memiliki lesen untuk mengemudi kapal dan berasa puas apabila dapat mengemudi sendiri. Ia bagai melengkapkan keperluan serta skil yang ada kerana saya gemar aktiviti sukan air lain seperti menyelam.

“Saya tidak menyangkal keunikan sukan ini adalah ia sangat fleksibel. Biarpun ketika berusia lewat 60-an, saya masih boleh terus aktif dalam sukan ini,” katanya yang menyimpan hasrat memiliki kapal layar sendiri.

Sementara itu, Setiausaha Royal Selangor Yatch Club, Jeff Harif berkata, Festival Pelayaran memperlihatkan kombinasi pertandingan serta aktiviti sukan air yang menarik bagi peminat sukan berkenaan.

“Kami mengalu-alukan mereka yang berminat dengan sukan air supaya mencuba sukan layar. Bagi yang kali pertama atau asing dengan sukan ini, mereka boleh mendapat kemahiran baru iaitu belayar sambil merasai pengalaman dalam pertandingan kapal layar,” katanya.


PROFIL 1:

NAMA: Jiena Abdul Razak
UMUR: 30 tahun
ASAL: Johor Bahru, Johor
KERJAYA: Penulis dan penyelidik bebas
PENGALAMAN: Menyertai Merdeka Cup Pangkor Laut Race 2012

PROFIL 2:

NAMA: Farina Azman
UMUR: 32 tahun
ASAL: Johor Bahru, Johor
KERJAYA: Pengusaha spa
PENGALAMAN: Menyertai Merdeka Cup Pangkor Laut Race 2012

PROFIL 3:

NAMA: Sharazad Saiful Bahri
UMUR: 27 tahun
ASAL: Putrajaya
KERJAYA: Eksekutif minyak dan gas
PENGALAMAN: Menyertai Merdeka Cup Pangkor Laut Race 2012

PROFIL 4:

NAMA: Irsyad Ismail
UMUR: 27 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Pengurus swasta
PENGALAMAN: Menyertai Merdeka Cup Pangkor Laut Race 2012

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: