Beberapa penduduk berbincang sesama sendiri mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan berkenaan.
Keadaan tanah yang rebak berhampiran rumah di kawasan berkenaan.
Keadaan gerai makan yang ranap dalam kejadian tanah runtuh kelmarin.
Sebahagian penduduk kelihatan meninjau kerja-kerja penambakan pasir di sekitar tebing sungai berikutan kejadian tanah runtuh kelmarin.
“Kami sekeluarga tidak mampu berbuat apa-apa cuma mampu melihat air deras terus mengakis tanah sehingga menyebabkan kedai itu runtuh awal pagi tadi (semalam),” luah Cik Gun Mohd Sebab, 55, salah seorang penduduk yang terbabit dalam kejadian yang berlaku di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Chepor.
Menurutnya, sewaktu kejadian dia baru saja menutup kedai makan yang diusahakan sejak dua tahun lalu yang terletak bersebelah dengan rumahnya.
“Ketika itu, hujan rintik-rintik namun saya lihat air Sungai Pari yang terletak kira-kira 20 meter dari kedai mengalir deras.
“Air sungai juga mula naik dan mengakibatkan kami termasuk penduduk berhampiran terlalu bimbang untuk tidur malah menunggu di luar rumah masing-masing untuk memastikan semua dalam keadaan selamat.
“Bagaimanapun, lebih kurang jam 4 pagi tadi (semalam) kedai saya dirempuh air yang sangat kuat sehingga menyebabkan ia runtuh,” katanya yang membina kedua-dua kedai itu dengan harga RM20,000.
Katanya, kejadian tersebut adalah yang pertama berlaku selama tujuh tahun menetap di kawasan itu.
“Bukan sahaja kedai saya musnah malah rumah berhampiran turut dimasuki air. Selain itu, tanah di sekeliling rumah juga mulai rebak dan jika hujan lebat berterusan berkemungkinan ia akan memberi kesan kepada kediaman kami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chepor Dalam/Klebang, Sukiman Jalil berkata, kejadian arus deras sungai kelihatan sejak jam 11.30 malam sehingga 4.30 pagi semalam.
“Selepas Subuh baru kami lihat jalan terputus sehingga mengakibatkan pengguna tetap jalan ini terpaksa mengikut laluan lain.
“Dua kawasan yang terbabit adalah di RPT Chepor (lima keluarga) dan Desa Seri Chepor (60 keluarga). Seramai 220 keluarga ditempatkan di Dewan Komuniti Desa Seri Chepor buat sementara waktu,” katanya.
Menurutnya, antara pihak yang turun padang membantu termasuklah pasukan bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Daerah dan Tanah dan Pejabat Penghulu.
“Malah, dua bot turut digunakan sewaktu memindahkan empat warga emas yang uzur untuk ditempatkan di dewan berkenaan.” katanya.
Dari segi bantuan, Sukiman berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitumal telah datang memantau kawasan dan pihaknya sedang menyediakan segala dokumen yang diperlukan supaya bantuan dapat disalurkan kepada penduduk.
Katanya, air deras itu berpunca daripada ban pecah yang terletak di Hulu Kuala Kuang dan menyebabkan air dari kawasan tersebut turun dengan laju.
“Berikutan itu, kerja menambak pasir sedang dijalankan menggunakan kren dan selepas selesai ia akan disambung dengan penurapan jalan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang pengguna jalan tersebut, Azri Atan, 34, berkata, jalan tersebut sering digunakan penduduk tempatan sebagai jalan pintas untuk ke tempat kerja.
Dia yang sering berkunjung ke rumah ibu mertuanya di Kampung Chepor Dalam berkata, kejadian terburuk berlaku di kawasan berkenaan.
“Saya berharap pihak yang berkaitan tampil menyelesaikan perkara ini dengan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: