
PERNAH terlibat dalam beberapa siri lukisan dan pameran, artis muda yang sedang membina nama dalam bidang seni lukis, Ahmad Effendi Zahari, 31, percaya bahawa imej haiwan boleh menjadi sinonim dengan personalitinya.
Buah tangannya yang terkini ialah koleksi lebih 50 buah lukisan yang menampilkan imej burung, dinamakan Togok. Jika sebelum ini, dia pernah cuba menampilkan beberapa siri lukisan dengan imej haiwan, Togok pada kali ini mengetengahkan kepelbagaian terjemahan rupa unggas.
Graduan dalam bidang seni halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM) tahun 2004 itu berkata, walaupun berpengalaman bereksperimen dengan imej haiwan lain seperti kuda, ayam dan ikan sebelum ini, Togok merupakan siri pertamanya yang memaparkan imej burung.
Menjelaskan secara lanjut sebab memilih burung, dia yang juga lebih mesra dengan panggilan Effendi, menceritakan tentang pengalamannya di Melaka yang telah mencetus ilhamnya.
“Burung adalah simbol kebebasan. Demikian saya menggambarkan imej itu dalam lukisan,” terangnya.
Beberapa tahun dahulu, Effendi sempat meluangkan masa di Melaka. Dia tinggal di sebuah asrama di Durian Tunggal untuk menghadiri kursus berkenaan hiasan dalaman, satu lagi lapangan yang ingin diceburi anak muda itu.
Di tempat yang dilatari pemandangan alam yang menghijau, telah menjentik naluri Effendi sekali gus membuatkannya mula mengadaptasi erti sebenar kebebasan.
“Sewaktu saya berada di sana, saya seolah-olah putus komunikasi dengan dunia luar dan tempat tersebut agak terpencil. Jadi, saya mengenang semula pengalaman tersebut dan mengaplikasi kepada siri terbaharu saya ini,” kata Effendi merujuk kepada pengalaman tiga tahun dahulu.
Walau bagaimanapun, apabila ditanya erti sebenar Togok, Effendi sendiri tidak jelas.
“Saya secara peribadi tertarik dengan nama Togok dan menamakannya. Namun, saya percaya ia mampu memberi kaitan kepada siri ini,” kongsinya yang memiliki studio sendiri yang dinamakan Bima Sakti di Seksyen 7, Shah Alam.
Apabila ditanya tentang tempoh masa yang diluang untuk siri tersebut, Effendi memberitahu, dia tidak terikat dengan tempoh masa tertentu malah lebih suka melukis apabila mempunyai masa dan keterujaan.
Melihat siri karya Togok yang dihasilkan menggunakan pelbagai medium seperti akrilik, cat, bitumen (tar), melilin, paster dinding dan krayon, tentunya memerlukan ketelitian dan kesabaran Effendi yang tinggi.
Metafora kiasan
Dalam siri tersebut juga, Effendi tidak mengehadkan kepada sejenis burung tertentu malah, katanya, beliau mahu bereksperimentasi dengan semua jenis haiwan yang berkepak dan berterbangan.
Dalam pada itu, erti sebenar kebebasan yang diterjemah Effendi melalui siri Togok secara tidak langsung adalah berdasarkan metafora kiasan atau sindiran.
“Saya mahu menyindir secara berkias betapa saya ketika tertekan dan bosan berada di Durian Tunggal,” ujarnya.
Tambah Effendi, semua gambaran yang diberikan dalam Togok memperlihatkan imej burung menari di atas dahan dan terbang bebas.
“Sungguhpun mempunyai pengklasifikasian tersendiri, saya tidak mahu mengehadkan maksud di sebalik lukisan malah memberi kebebasan kepada para penggemar seni untuk menterjemahkan mengikut pemahaman masing-masing,” ujarnya yang tidak mahu terikat dengan satu maksud khusus.
Sebelum ini, Effendi tampil dengan dua pameran solo iaitu TAFSIR pada tahun 2008 dan Persepsi pada tahun 20102. Di samping itu, Effendi juga pernah tampil engan siri Fobic dan Sekilas. Itu tidak termasuk tiga siri yang dihasilkan atas tempahan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: