Wednesday, September 12, 2012

Tinggal isteri demi tugas

INSPEKTOR Chu Soon Lee (dua dari kiri) bersama anggotanya di hadapan kereta peronda.

KETIKA isteri saya sedang berjuang antara hidup dan mati melahirkan anak pertama, saya terpaksa meninggalkannya bersendirian di Hospital Melaka. Bukan itu sahaja, ketika melahirkan anak kedua dan terakhir, dia turut tidak ditemani sesiapa."

Begitulah pengorbanan besar yang terpaksa dilakukan Inspektor Chu Soon Lee, 45, demi melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya menjaga keselamatan rakyat dan keamanan negara.

Bukan mudah untuk melakukan pengorbanan apatah lagi melibatkan saat-saat penting ketika menerima kedatangan ahli keluarga yang baru.

Menurut Soon Lee, kali pertama dia meninggalkan isterinya, Hew Kim Lian, 42, ketika dia bersalin di hospital berkenaan pada 4 Disember 1991.

"Ketika itu saya bertugas menjalankan siasatan untuk menangkap seorang suspek yang memiliki senjata api. Selepas menghantar isteri ke hospital kira-kira pukul 1 pagi, saya kemudian bergegas keluar untuk melaksanakan tugas.

"Sedih juga meninggalkan isteri berseorangan tanpa ditemani ahli keluarga apatah lagi ketika melahirkan anak pertama kami, Chu Yau Chong yang kini berusia 21 tahun," katanya kepada Mega baru-baru ini.

Sebaik selesai bertugas kira-kira pukul 11 pagi, Soon Lee terus menuju ke hospital bagi melihat perkembangan isteri dan anaknya.

"Bagaimanapun, saya tidak dibenarkan masuk ke bilik rawatan dan hanya dapat melihat isteri saya mendukung anak kami dari jauh kerana belum tiba masa lawatan," ujarnya.

Katanya, selepas pukul 12.30 tengah hari barulah dia dibenarkan bertemu isteri dan anaknya yang selamat dilahirkan.

"Perasaan gembira memang tidak dapat digambarkan apatah lagi apabila baru bergelar bapa," katanya.

Menurutnya lagi, selepas dua tahun, ketika isterinya hendak bersalin anak kedua, Chu Chin Sing (kini 19 tahun), dia sekali lagi terpaksa meninggalkan isterinya itu bersendirian di hospital yang sama.

"Saya tidak dapat menemaninya berikutan tugasan yang perlu dilaksanakan di Johor. Bagaimanapun, selepas dua hari isteri saya bersalin, barulah saya dapat berjumpa mereka," katanya.

Begitu juga semasa anak bongsu pasangan itu, Chu Wei Wang yang dilahirkan pada 2003 di hospital itu, Soon Lee tidak dapat menemani isterinya ketika bersalin dan hanya dapat melihat anaknya pada keesokan hari.

"Ketika isteri saya menunggu masa untuk melahirkan anak bongsu kami, saya sedang menjalani latihan inspektor di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak.

"Situasi bertambah sukar dihadapi isteri saya ketika itu apabila dia terpaksa melahirkan anak kami melalui kaedah pembedahan," ujarnya.

Namun, mujurlah isterinya mempunyai semangat yang tinggi serta memahami tugas beliau sebagai anggota polis.

"Pernah juga satu ketika dulu dia meluahkan perasaan dengan mengatakan rumah kami seperti sebuah hotel memandangkan saya sering meninggalkannya.

"Namun, selepas beberapa tahun menjalani kehidupan bersama, dia mula mengerti dan faham dengan kerjaya yang saya pilih," ujarnya.

Ketika ditanya mengapa dia memilih kerjaya sebagai polis, Soon Lee berkata, sejak kecil dia bercita-cita untuk menjadi anggota polis.

"Impian itu juga didorong oleh bapa saya yang juga merupakan seorang anggota polis," ujarnya.

Menurut beliau, pada masa ini anggota polis di kalangan masyarakat berketurunan Tionghua masih kurang. Sehubungan itu, dia menggalakkan rakyat Malaysia di kalangan kaum itu supaya menyertai Polis Diraja Malaysia.

"Tanggungjawab menjaga ketenteraman rakyat dan keselamatan negara bukan hanya terletak pada satu kaum majoriti namun ia perlu dipikul oleh seluruh lapisan masyarakat tidak kira agama mahupun bangsa," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: