|
SATU Malaysia sudah tahu mengenai berita pertunangan pelakon kacukan Melayu-Inggeris ini, Diana Danielle, 20, dengan pelakon dan pengarah, Farid Kamil, 31, Ahad lalu walaupun ia telah diadakan secara tertutup.
Bagi Diana dan Farid, tiada apa lagi yang hendak dirahsiakan selain doa peminat supaya hubungan mereka kekal hingga akhirnya.
Kata Diana ketika ditemui pada sidang akhbar filem animasi Supersquad The Movie di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, kelmarin, apabila sudah bertunang, prinsipnya tentang cinta tidak berubah.
Ia adalah sama seperti sebelum pertunangannya itu.
Diana tegas dalam memastikan kisah peribadinya tidak menjadi bahan komersial buat tatapan umum.
Jika sebelum bertunang Diana tekad dengan prinsipnya yang tidak akan bergambar berdua dengan Farid walaupun dalam majlis yang sama, tegas figura ini, prinsip itu tetap akan diteruskan selepas mereka bertunang.
"Tidak akan berubah sama sekali, ia soal peribadi dan saya hanya akan menghebohkan soal kerja sahaja sebab itu kerjaya saya," ujarnya yang memegang watak Elly dalam Supersquad The Movie yang merupakan filem animasi pertama membabitkan dirinya.
Bagi Diana, apabila bergelar artis, dia sudah memfokus pemikirannya untuk kerjaya sahaja dan tidak menghebahkan soal peribadi kepada umum.
"Kalau orang lain (artis) hendak cerita soal peribadi mereka kepada umum, saya tidak boleh halang tetapi diri saya tidak sama sekali akan berbuat demikian," ujarnya.
Tegasnya: "Sebenarnya, tidak semestinya kalau kita jadi artis perlu dedahkan semua perkara kepada umum, ia terpulang kepada diri sendiri. Saya manusia biasa sahaja, adakalanya perlukan masa peribadi sendiri."
Mempertahankan haknya untuk tidak menghebohkan urusan pertunangannya dengan Farid, kata Diana, pertunangan adalah urusan dua keluarga yang membuat perjanjian kekeluargaan dan tidak manis untuk menjemput orang luar termasuk media.
"Tidak manis jika orang luar dengar butir-butir perbincangan keluarga itu," tuturnya.
Namun, dia membuat ikrar janji tentang perkahwinannya nanti yang un dijadualkan pada tahun depan.
"Jangan bimbang jika bernikah kelak saya akan jemput semua orang," ucap Diana.
Muda dan matang
Bercerita lanjut mengenai usianya yang baru menjengah awal 20-an dan sudah menjadi tunangan orang serta bakal berkahwin pada usia 21 tahun, Diana memberitahu, itu tidak menjadi penghalang untuknya mengikat ikatan suci itu.
"Saya tidak pernah fikir soal usia pun, saya tidak pernah rasa diri ini muda kerana sentiasa berfikiran matang dan segala kerja, saya buat secara serius," ujarnya.
Baginya, sejak dahulu lagi dia telah dididik untuk berfikiran matang daripada usianya dan sejak itu telah boleh berdikari dan membuat semua perkara sendiri.
|
|
"Soal usia tidak timbul langsung, yang penting apa perkara yang dibuat dapat dilaksanakan tanpa tergendala," jelasnya lagi yang enggan berkongsi gambar-gambar pertunangannya dengan semua media kerana telah memberikan hak eksklusif kepada sebuah akhbar tempatan (bukan Kumpulan Utusan).
Mengulas tentang pertunangannya itu, Diana berkata, ia telah dirancang dalam tempoh sebulan dan persiapan hanya dilakukan seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri disebabkan kesibukannya berlakon.
"Ia boleh dikatakan persiapan pada saat-saat akhir juga kerana setiap hari saya ada penggambaran, jadi selepas kerja baru fikir nak buat itu dan ini," ujarnya yang bakal muncul dengan dua filem tahun ini iaitu Sembunyi (nama baharu bagi filem yang sebelum ini diberi judul, Azazil) dan filem epik arahan U-Wei Saari, Hanyut.
Kata Diana, dia tidak menerima cincin pertunangan baharu sebaliknya cincin pemberian Farid sempena ulang tahun perkenalan mereka yang dijadikan cincin pertunangan.
"Cincin itu kena baiki sebab dua batu permatanya telah tercabut, jadi selepas dibaiki dan digilap, saya dapat rasa jugalah cincin itu macam cincin baharu," ujarnya berjenaka.
Tambahnya, dia bersyukur kerana majlis yang dirancang itu berjalan lancar dan mengharapkan semua peminat mendoakan hubungannya dengan Farid berkekalan.
Farid tidak akan kongkong
Diana turut memberi komen tentang fasa dirinya selepas menjadi tunang Farid iaitu dia tidak akan sekali-kali dikongkong oleh tunangannya itu.
"Dia (Farid) bukan jenis macam tu, sejak dahulu sampai sekarang. Dia tidak pernah kongkong saya mahu pun masuk campur urusan saya," ujarnya.
Menurutnya, sebelum menjadi tunangan Farid, tunangnya itu tidak memberi apa-apa syarat dalam soal berlakon.
"Farid tidak pernah masuk campur dari segi kerja, dia tahu saya pandai buat keputusan sendiri tetapi jika ada masalah yang melibatkan gangguan antara satu sama lain misalnya, barulah kami akan berbincang," ujarnya yang sudah tiga tahun menyulam cinta dengan Farid.
Ketika ditanya adakah Farid benar-benar merupakan 'Mr. Right' buat dirinya, Diana dalam teragak-agak sukar untuk menjawab persoalan itu.
"Berat nak jawab soalan itu (sekarang), bukan nak nafikan dia adalah orang itu tetapi jika sudah berkahwin sudah tentu dia adalah satu-satunya," jelasnya.
Dalam tempoh pertunangan mereka selama setahun, Diana menjelaskan, dia dan Farid akan sama-sama mempersiapkan diri dengan ilmu agama dan soal tanggungjawab.
"Sama macam Farid telah cakap (kepada Kosmo!) sebelum ini, saya juga akan mempersiapkan diri dengan pengetahuan agama. Dia akan membantu saya dalam soal berkenaan," ujarnya yang berpendapat masih terlalu awal untuk memikirkan konsep perkahwinannya kelak.
Dia juga berjanji, jika telah berkahwin kelak tidak akan sekali-kali berjauhan dengan ibunya, Norsiah Ramli dan adiknya, Halley Hayden, 4.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: