Tuesday, September 4, 2012

Tebuk dinding, pecah peti besi


Kedai emas di Jalan Besar, Sungai Siput yang dipecah masuk penjenayah dan menyebabkan pemiliknya kerugian ratusan ribu ringgit.


SUNGAI SIPUT - Cuti panjang minggu lalu dimanfaatkan sepenuhnya oleh sekumpulan perompak apabila bertindak menggerudi dinding sebuah kedai emas sebelum melarikan sejumlah barang kemas dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit dalam kejadian di Jalan Besar di sini semalam.

Kejadian yang dipercayai berlaku antara Jumaat hingga Ahad lalu itu disedari pemilik premis ketika hendak memulakan perniagaan pada pukul 9 pagi.

Sebaik membuka kedai, mangsa terkejut apabila mendapati dinding premisnya telah berlubang berdiameter 0.5 meter. Dinding itu dipercayai ditebuk melalui premis bersebelahan yang kosong sejak 12 tahun lalu.

Selepas diperiksa, dia mendapati barang kemas yang disimpan di dalam peti besi telah dilarikan penjenayah.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan namun tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh penyamun berpengalaman berdasarkan modus operandi digunakan.

"Penjenayah terbabit melalui kedai kosong sebelah kiri kedai dan berjaya mematikan sistem penggera yang dipasang.

"Selepas berjaya masuk ke bilik kebal, peti besi yang menyimpan barangan kemas ditebuk pada bahagian atas dan mereka melarikan diri menerusi lubang yang sama," katanya di sini semalam.

Tambahnya, jumlah penjenayah yang terlibat dan kerugian dialami pemilik kedai emas terbabit masih disiasat.

"Kita bagaimapaun percaya ia dilakukan lebih daripada dua orang dan mereka ambil kesempatan cuti Hari Kemerdekaan dan hujung minggu yang kebetulan kedai emas terbabit tidak beroperasi," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput melalui talian 05-598 2222.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: