|
BERLOKASI di kawasan bukit yang menjanjikan suasana privasi dan nyaman, mungkin ramai yang menyangka Pusat Penjagaan Ibu Bersalin Mom Retreat yang terletak di Jalan Permatang Pasir, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur itu ialah sebuah kediaman mewah. Begitupun percaya atau tidak, rumah tersebut sebenarnya direka khusus untuk golongan ibu yang mahu menjalani rawatan selepas bersalin. Bagi yang berhasrat mahu menghabiskan pantang di rumah tetapi dengan kemudahan bertaraf hotel itu, pasti anda tidak akan menyesal kerana ia bukan sahaja menjanjikan penginapan yang selesa, malah rawatan terbaik.
|
|
Selain penginapan bertaraf hotel itu, ia umpama satu destinasi percutian bagi ibu yang mahu berehat dengan secukupnya. Malah, di pusat itu ia juga menyediakan khidmat jururawat yang bertauliah untuk penjagaan rapi kepada ibu dan bayi. Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, pemilik pusat berkenaan, Hazeera Banu Ramjan Din, 40, berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan rawatan secara holistik dan tradisional Melayu yang sesuai bagi proses pemulihan serta penyembuhan badan ibu yang baru bersalin.
|
|
Rumah terbabit memiliki sembilan buah bilik yang dilengkapi dengan kemudahan internet, televisyen, pendingin hawa serta set bilik tidur yang selesa. Ibu kepada empat cahaya mata itu yang baru membuka pusat berkenaan kira-kira dua bulan lalu memberitahu, pihaknya menyediakan kemudahan setaraf hotel demi menjamin kepuasan hati pelanggan sepanjang menerima rawatan di situ.
Jururawat terlatih
Dalam pada itu, para pelanggan tidak perlu bimbang kerana dari soal pemakanan sehinggalah ke tempat tidur, mereka akan dijaga rapi dengan bantuan kakitangan yang terdiri daripada jururawat bertauliah.
“Kami memahami keperluan wanita yang baru bersalin. Apabila menjalani rawatan di sini, mereka akan mendapat perhatian sepenuhnya, rehat yang cukup dan ketenangan minda serta pemulihan badan yang sempurna,” kata Hazeera Banu yang banyak mengamalkan petua neneknya iaitu seorang bidan kampung di Ipoh, Perak 30 tahun lalu. Berbicara lanjut mengenai konsep di pusatnya itu, beliau memberitahu idea tersebut untuk memberi keselesaan kepada para ibu.
|
|
Dengan dekorasi yang santai, keadaan itu akan menyebabkan para ibu terasa seolah-olah berada di rumah sendiri bukannya seperti hospital. “Suasana pusat ini tidak tumpah seperti sebuah rumah. Segala-galanya ada di sini, lengkap dengan peralatan rumah,” ujarnya. Tambah beliau, kebanyakan golongan ibu akan mengalami tekanan akibat kurang rehat bila berehat di rumah sendiri. Tambahan pula, melihat keadaan rumah yang tidak terurus dan kerenah anak-anak yang lain. Justeru, di sini mereka akan berasa lebih tenang dan dapat berehat sepuas-puasnya.
|
|
Sementara itu, ketika ditanya mengenai harga rawatan di pusat itu, pihaknya menyediakan tiga pakej Pengurusan Ibu dan Anak Dalam Pantang Bersalin iaitu pakej tiga malam, seminggu, 15 malam dan sebulan.
Harga pakej pula bergantung kepada jenis pakej iaitu sama ada pakej penginapan sahaja ataupun termasuk rawatan holistik dan tradisional Melayu. Bagi yang bersalin secara pembedahan juga boleh mengambil pakej penginapan serta penjagaan rapi di Mom Retreat. Rawatan yang disediakan merangkumi urutan badan, bertungku, bertuam, mandian herba, skrub badan, terapi cahaya infra merah, urutan payu dara bagi yang mengalami bengkak susu, penjagaan luka jahitan di bahagian sulit dan sebagainya.
|
|
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: