Wednesday, September 19, 2012

Permintaan trak Isuzu FVR meningkat

'Daisuke Ishida menyerahkan replika kunci Isuzu FVR kepada Pengarah Urusan Integrated Cold Chain Logistics Sdn. Bhd. Kevin Lim. Turut kelihatan (dari kanan), Timbalan Pengurus Besar Isuzu Malaysia, Katsuhiro Koizumi, Pembantu Pengarah Urusan Integrated Cold Chain Logistics, Lillian Koay dan Pengarah Urusan Indah Utara Auto Sdn. Bhd., Poh Seng Hooi.
KUALA LUMPUR 17 Sept. - Produk yang mempunyai ciri-ciri menarik terutama dari aspek tahan lasak dan kecekapan penggunaan bahan api telah menyumbang kepada peningkatan permintaan terhadap trak-trak tugas sederhana (medium-duty), Isuzu FVR yang baru.
Menurut kenyataan, sejak diperkenalkan pada April lalu, tempahan trak tersebut dilihat begitu positif.
Justeru, Isuzu Malaysia yakin dapat mencapai sasarannya untuk menjual sebanyak 35 buah FVR pada tahun ini berdasarkan kepada trend tempahan itu.
Syarikat ini telah mula menghantar kumpulan pertama kenderaan yang dipasang di kilang Isuzu-Hicom Malaysia di Pekan, Pahang itu kepada para pelanggan di seluruh negara.
Ini termasuklah pembeli awalnya iaitu syarikat Integrated Cold Chain Logistics Sdn. Bhd. yang menerima tiga buah kenderaan 18 tan tersebut.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Isuzu Malaysia, Daisuke Ishida berkata, tempahan trak itu terus meningkat berikutan ciri-cirinya yang bagus, selain reputasinya sebagai kenderaan yang menjimatkan minyak dan boleh dipercayai.
"Banyak syarikat mahu melihat dan menguji FVR untuk menilai kesesuaiannya dengan operasi perniagaan mereka. Maklum balas daripada ramai yang telah menggunakan kenderaan ini sememangnya positif.
"Kebanyakan mereka kagum dengan kualiti buatan yang bagus, mudah dikendalikan dan prestasi enjinnya. Saya percaya bahawa sebaik sahaja kumpulan pertama kenderaan ini mula membuktikan keupayaannya, lebih banyak syarikat akan yakin dengan kemampuan FVR," katanya.
Berasaskan kepada model generasi keenam yang kini dijual di Jepun, trak 18 tan itu menampilkan reka bentuk dan kejuruteraan tercanggih.
Ia disifatkan sebagai pilihan ideal untuk operasi panduan jarak jauh memandangkan ia menggunakan enjin turbocharge enam silinder penuh berkuasa.
Enjin tersebut dipadankan dengan kabin dan kerangka yang kukuh serta selesa untuk memberikan pemandu pengalaman pemanduan yang tidak meletihkan, walaupun memandu dalam tempoh yang lama.
Maklumat lanjut mengenai Isuzu FVR boleh diperoleh di laman web: www.isuzu.net.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: