Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari bilik mahkamah, semalam.
AYER KEROH - Seorang penjual laksa mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas tiga pertuduhan memperdaya dan menipu tiga individu membabitkan RM38,500 untuk pembelian motosikal berkuasa tinggi serta pelaburan hartanah.
Khairul Fitri Abdul Rahim, 28, dari Klang, Selangor, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Sazali Omar setelah pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya Zulkhairi Abdullah, 45, dengan menawarkan motosikal jenis Kawasaki ZX6 dan saham MAS yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM6,500 antara bulan Februari dan September tahun ini.
Kejadian berkenaan didakwa dilakukan tertuduh di Restoran Pinang Besar, Cheng.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memperdaya Syahril Manan berhubung urusan pelaburan hartanah dan perumahan sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM 17,000 pada 21 September 2009 di hadapan sebuah bank di Taman Melaka Raya.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memperdaya Ahmad Ja’amad berhubung pembelian sebuah motosikal berkuasa besar sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM15,000 pada 23 September 2011 di hadapan sebuah kedai kereta di Jalan Semabok.
Ketiga-tiga kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Pihak pendakwaan kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan masing-masing RM20,000 bagi pertuduhan kedua dan ketiga.
Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan atas alasan kurang berkemampuan kerana hanya bekerja sebagai seorang penjual laksa, selain perlu menanggung isteri dan seorang anak.
Ahmad Sazali kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 untuk pertuduhan pertama, RM8,000 untuk pertuduhan kedua serta RM7,000 untuk pertuduhan ketiga, selain menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: