GEORGETOWN - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah mencederakan remaja 16 tahun dengan sebatang besi dalam satu kejadian rompakan beg milik mangsa, bulan lalu.
Shekh Yusoff Sikh Abdullah, 22, dari Tanjung Tokong, di sini, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Sitarun Nisa Abdul Aziz, selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Shekh Yusoff didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan dengan menggunakan sebatang besi dengan niat mencederakan remaja itu untuk merompak satu beg tangan kepunyaannya.
Dia yang tidak mewakili peguam didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh didenda atau disebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Sitarun Nisa membenarkan Shekh Yusoff dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan kes.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: