Miera Liyana
Miera Liyana

AWAL kemunculannya dalam bidang seni, dia pantas sahaja di duga dengan kisah kontroversi yang cukup memalukan. Kisah baju yang mencolok mata.

Tidak terhenti di situ, nama Miera Liyana sekali lagi menarik perhatian ramai ekoran kisah cintanya dengan aktor Shahz Jaszle atau kini lebih dikenali sebagai Shahrizal Jaszle. Baru sahaja menjalinkan hubungan cinta, mereka sudah pantas berbicara soal perkahwinan.

Namun, belum pun sempat mengikat tali pertunangan, hubungan itu terlerai di tengah jalan dan Miera dikatakan mengundur diri membawa hati yang lara.

Namun, kata orang pengalaman lalu, akan mendewasakan kita. Miera bertekad enggan lagi terkait dengan cerita kontroversi yang memalukan. Harapannya, biarlah selepas ini, orang lebih mengenalinya kerana karier seni yang membanggakan.

“Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini saya banyak menerima tawaran yang tak henti-henti. Saya percaya jika kita bersungguh-sungguh, orang akan nampak hasil kerja kita. Saya juga tak mahu lagi dipalit dengan publisiti murahan, saya mahu orang tahu saya juga ada bakat.

“Bagaimanapun saya percaya, setiap kontroversi adalah kontroversi yang baik, selagi kita boleh mengawalnya,” katanya.
Miera berkata, dia teruja dan berdebar apabila masih menanti empat buah filem lakonannya iaitu Pencinta, Pecah, Lebuhraya Ke Neraka dan Dendam Orang Mati yang bakal ditayangkan tahun hadapan.

Tiada dendam

Menyentuh mengenai perancangan Shahrizal untuk mengikat tali pertunangan dengan teman wanita barunya, Miera berkata, dia sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka tanpa ada perasaan dendam.

“Hubungan kami kini hanya tinggal sejarah. Malah saya juga tidak menyimpan perasaan dendam atau marah kepada Shahrizal. Apa juga keputusan yang dia buat, saya doakan yang terbaik buat dia.

“Saya percaya setiap manusia boleh berubah dan kini giliran Shahrizal untuk berubah apabila dia bersama dengan pasangan hidupnya itu,” katanya sambil tersenyum.