Sunday, September 9, 2012

Kongsi resipi nenek

Shariffa Sabrina Syed Akil bersama sajian yang disediakannya.

SIAPA sangka seorang usahawan wanita berjaya ini yang sentiasa sibuk menguruskan kerjaya masih mempunyai waktu untuk ke dapur memenuhi minatnya.

Nama Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, 50, mungkin jarang didengari berbanding suaminya, Tan Sri Syed Yusuf Syed Nasir, seorang usahawan perhotelan terkenal.

Namun dalam diam ibu kepada lima anak ini turut mengusahakan pusat peranginan berkonsep resort dusun buah-buahan yang diberi nama Tanah Aina Farrah Soraya, di Raub, Pahang.

Selain itu beliau juga mengusahakan restoran eksklusif yang juga terletak di pusat peranginan tersebut dan menjadi medan baginya memenuhi minat dalam bidang masakan.

Berpeluang mengunjungi kediamannya baru-baru ini, Shariffa Sabrina berkongsi kehebatan 'di dapur' yang tidak ramai diketahui orang.

"Saya memang sangat gemar memasak meskipun sibuk dengan jadual usahawan dan baru-baru ini kembali bergelar seorang pelajar," katanya.

Menurutnya, dek kerana minat yang sangat mendalam dalam bidang masakan, beliau mengambil keputusan untuk menuntut ilmu dalam bidang tersebut di School of Ecole de Patisseve, sebuah kolej masakan di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Petang itu, lengkap dengan uniform serba putih seorang chef, Shariffa Sabrina kelihatan sangat cekap di dapur untuk menyediakan tiga sajian istimewa.

Katanya, sajian tersebut ialah resipi turun-temurun daripada neneknya iaitu nasi beriani ikan, rendang daging Aceh dan koktail (pencuci mulut).

Apa yang menariknya ialah rendang daging Aceh tersebut di masak tidak menggunakan minyak sebaliknya direbus sahaja sehingga empuk.

Manakala nasi beriani ikan pula menggunakan ikan tenggiri yang digoreng separuh masak.

Katanya, pemilihan sebarang jenis ikan untuk nasi briyani ini bergantung kepada keenakan ikan tersebut.

"Selain ikan tenggiri, ikan lain pun boleh digunakan contohnya ikan kurau," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai pusat peranginan Tanah Aina Farrah Soraya yang diusahakannya, Shariffa Sabrina berkata, nama tersebut diambil sempena nama anak sulungnya.

Ia bermula sebagai dusun untuk istirehat keluarga yang kemudian mendapat kunjungan ramai kenalan sehingga memberi idea untuk menjadikan sebagai pusat peranginan.

"Ia kini semakin berkembang mungkin kerana lokasinya yang dikeliling bukit bukau yang menghijau dan deruan air sungai pastinya memberi ketenangan kepada pengunjung.

"Buat masa ini Tanah Aina Farrah Soraya menawarkan tiga jenis penginapan yang selesa iaitu chalet, asrama dan khemah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: