
NING BAIZURA (dua dari kiri) yang
tidak ketinggalan hadir memberi sokongan untuk Konsert Untukmu Loga
dengan turut mendendangkan beberapa buah lagu bergambar dengan (dari
kiri) David Arumugam, Susan serta dua orang anaknya Priyadashinidan
Vigneshwaran.
BARU-BARU ini, Alleycats telah mengadakan konsert amal bagi mengutip dana untuk keluarga mendiang Datuk Loganathan Arumugam atau Loga yang pernah menjadi salah satu aset penting buat kumpulan legenda negara itu.
Konsert Untukmu Loga yang dibawakan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu ternyata telah mendapat sambutan hangat daripada peminat kumpulan tersebut.
Walaupun keluasan lokasi konsert diadakan yang bertempat di Kelab Hits, Kompleks Scott Garden di Jalan Klang Lama, Selangor itu tidak begitu besar, namun kelab tersebut dipenuhi peminat setia yang menyifatkan konsert tersebut mampu membangkit nostalgia terhadap lagu-lagu mereka selain sebagai tanda sokongan untuk mendiang Loga.
Biarpun pada mulanya lokasi konsert kelihatan begitu lengang, namun sebaik ia bermula, khalayak mula memenuhi ruang kelab tersebut.
Konsert yang dimulakan pada pukul 9 malam itu menyaksikan persembahan daripada Rabbit dan Shezay, diikuti oleh Mista G yang mendendangkan lagu bergenre hip hop sebagai pemanas pentas.
Acara kemuncak yang dinanti-nantikan peminat Alleycats bermula setengah jam selepas acara pembukaan yang sememangnya mendapat tepukan gemuruh daripada peminat yang menantikan persembahan mereka.
Tidak dinafikan konsert berskala kecil itu mampu mengubat rindu peminat setia Alleycats yang hadir.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat yang sudi hadir dan menyumbang kepada dana yang ingin diberikan kepada keluarga Loga.
“Saya sangat menghargainya dan terimalah persembahan istimewa daripada kami, Alleycats,” tutur Datuk David Arumugam sejurus naik ke pentas memberi seiring menerima tepukan gemuruh daripada peminat yang hadir.

PEMINAT setia Alleycats tetap hadir
memberi sokongan kepada kumpulan legenda tersebut biarpun Loga sudah
meninggal dunia pada tahun 2007.
Antara lagu hit yang didendangkan kumpulan lagenda itu ialah Andainya Aku Pergi Dulu, Senandung Semalam, Hingga Akhir Nanti dan Senyumlah Kuala Lumpur.
Selain itu, anak perempuan mendiang Loga, Priyadashini atau Dasha juga sama-sama menyumbang suara dalam konsert tersebut. Mengikut jejak langkah bapanya, Dasha menyampaikan beberapa buah lagu yang pernah didendangkan oleh bapanya ketika zaman kegemilangan Alleycats.
“Saya tidak sangka ramai yang hadir ke showcase ini untuk membantu kami sekeluarga. Jutaan terima kasih dari pihak keluarga saya kepada semua yang sudi membantu.
“Menyanyikan kembali lagu-lagu yang dipopularkan bapa dan Alleycats mengingatkan saya betapa bapa seorang yang cintakan muzik sepenuh hatinya,” tutur Dasha terharu sebelum memulakan persembahannya di pentas kelab tersebut.
Sejurus selepas itu, pentas Kelab Hits dimeriahkan lagi dengan kehadiran penyanyi, Ning Baizura yang juga menyampaikan beberapa buah lagu Inggeris serta medley lagu-lagu mendiang Whitney Houstan sebagai pembuka.
Sebagai penutup, Ning menyampaikan sebuah lagu yang katanya sentiasa menjadi permintaan peminat setiap kali dia mengadakan persembahan iaitu Awan Yang Terpilu.
“Saya memang meminati dan mengagumi kumpulan legenda ini. Saya juga membesar bersama lagu-lagu nyanyian Alleycats.
“Jadi, saya berbangga untuk berdiri di atas pentas yang sama serta terima kasih diucapkan kepada yang sudi menjemput sama untuk sama-sama memeriahkan konsert ini,” tutur Ning yang kelihatan sedikit berisi namun sentiasa ceria melayan peminat.
Sementara itu, dalam ratusan peminat yang hadir, ahli keluarga mendiang Loga seperti isterinya, Datin Susan Lovie serta anak lelakinya, Vigneshwaran turut hadir sebagai tanda sokongan dan terima kasih kepada pihak penganjur serta peminat yang prihatin terhadap nasib mereka.
Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada keluarga mendiang Loga.
Datuk Loganathan atau lebih dikenali sebagai Loga meninggal akibat penyakit kanser pada 4 Jun 2007. Walaupun begitu, legasi kumpulan Alleycats tetap diteruskan oleh abang kandungnya, Datuk David Arumugam.
Kini, Alleycats Alleycats dibarisi Datuk David Arumugam Shanmugam, Frank Ong , Khoo Fok Sin, Tan Chin Hock dan Chester Danielle Pasarella.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: