'Kantoi', pasangan mengeluh ketika ditahan Jaip
Pasangan kekasih yang dicekup disoal siasat sebelum dibawa ke Pejabat Jaip.

KUANTAN - “Saya tahu itu silap saya, perkara dah berlaku, nak buat macam mana,” keluh seorang lelaki berusia 23 tahun yang ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah hotel bajet di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 5 pagi yang dilakukan empat pegawai Penguat kuasa Jaip yang menjalankan operasi di hotel di Jalan Wong Ah Jang mendapati pasangan itu berada bersama di dalam bilik ketika pintu dibuka.

Graduan sebuah universiti teknikal berkenaan mendakwa, dia bersama teman wanitanya yang juga bakal guru itu bertemu malam itu sebelum dia pulang ke Kelantan untuk bercuti sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55.

Ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki berkenaan hanya memakai seluar pendek dan baju T manakala teman wanitanya memakai baju tidur.

Wanita berusia 24 tahun itu juga mengaku sedang belajar di sebuah pusat pengajian tinggi awam di Perak.

Selepas disoal siasat kira-kira 20 minit, mereka kemudiannya dibawa ke pejabat Jaip untuk siasatan lanjut.

Jaip sebelum ini sudah memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang menjadikan cuti kemerdekaan sebagai peluang melakukan maksiat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab Malek berkata, Jaip melaksanakan Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena cuti umum 31 Ogos bagi mengelakkan individu menyalahgunakan cuti hari kemerdekaan untuk melakukan maksiat.

Beliau berkata, seramai 38 individu berusia di antara 19 hingga 40 tahun ditangkap dalam dua sesi operasi itu.

“Kita memulakan operasi dari jam 10.30 malam hingga 12 tengah malam manakala sesi kedua bermula jam 4 hingga 6 pagi,” katanya.

Katanya, beberapa lokasi hotel bajet sekitar Kuantan diperiksa termasuk di Jalan Wong Ah Jang, Jalan Tun Ismail, Jalan Pasar, Jalan Besar.

Ahmad Raffli berkata, kesemua mereka yang ditahan akan didakwa di mahkamah tetapi dibenarkan ikat jamin,” katanya.