Wednesday, September 12, 2012

Jamal, Khaty dedah rahsia

JAMAL menyimpan rasa berkaitan perasaannya terhadap Khatijah.


TIADA siapa yang tahu selama ini penyanyi bersuara emas, Jamal Abdillah ada menyimpan perasaan yang dirahsiakan terhadap penyanyi, Datuk Khatijah Ibrahim atau lebih mesra disapa Khaty itu ketika Jamal menyertai Bintang RTM pada tahun 1979.

Rahsia yang tersimpul kemas di hati Jamal itu bagaimanapun akan terlerai juga apabila dia mengambil keputusan untuk mendedahkannya pada Konsert Gemilang Malaysia yang turut menampilkan dua figura gergasi hiburan iaitu Datuk Ahmad Nawab bersama Datuk Khatijah Ibrahim pada 29 September dan 13 Oktober ini.

Kongsinya bersama media ketika ditemui selepas sidang akhbar Konsert Gemilang Malaysia di restoran Khadijah’s Kitchen, Petaling Jaya, baru-baru ini: “Dia (Khatijah Ibrahim) memang seorang penyanyi yang mengagumkan. Memang saya akui meminati dia sebelum menjadi penyanyi lagi.

“Malah, saya juga mengambil keputusan untuk menerima tawaran daripada syarikat Warner Music kerana dia walaupun menerima banyak tawaran daripada syarikat lain selepas berjaya menjuarai Bintang RTM pada tahun 1979.”

Balas Khatijah pula: “Banyak kejutan dan rahsia bakal ditampilkan pada konsert itu nanti. Mungkin ada yang tidak percaya perjalanan karier kami (Khatijah dan Jamal) semasa di bawah bimbingan Ahmad Nawab.”

Mengulas mengenai konsert pada malam itu nanti, Ahmad Nawab pula memberitahu, ia bukan sekadar konsert semata-mata tetapi juga akan diselitkan dengan penceritaan mengenai perjalanan karier muzik artis di bawah bimbingannya iaitu Jamal dan Khatijah.

“Saya memang sudah lama merancang untuk menjayakan konsert yang menampilkan artis-artis di bawah bimbingan saya.

“Konsert ini akan tampil berlainan daripada konsert lain apabila Jamal dan Khatijah akan berkongsi rahsia perjalanan karier mereka. Malah, ada cerita yang peminat sendiri belum pernah dengar mengenai diri mereka,” jelasnya yang telah mengubah lebih 2,000 buah lagu bermelodi indah sejak tahun 1950-an.

Ditebak soalan sama ada dia berdepan dengan kesukaran untuk menjayakan konsert sebelum ini kerana sukar mendapat kerjasama daripada artis-artis di bawah bimbingannya, katanya, ia tidak berlaku cuma dia perlu mencari masa yang sesuai untuk menggabungkan mereka memandangkan masing-masing sibuk dengan urusan lain.

Mengulas mengenai pemilihan Jamal dan Khatijah pula, ulas Ahmad Nawab, kedua-dua penyanyi itu merupakan ikon yang besar kepada peminat dan mereka juga merupakan penyanyi profesional.

Ditanya pula mengenai persembahan Jamal dan Khatijah pada malam itu nanti, Khatijah memberitahu, dia akan tampil bersama anak saudaranya iaitu Sheikh Mohd. Firdaus Amri Sheikh Mohd. Fuzi atau Firdaus.

“Dia akan menyanyikan lagu Nora. Dia sesuai nyanyi lagu itu kerana suaranya juga seakan-akan seperti vokal arwah pak cik dia (Latiff Ibrahim),” ceritanya.

Ulas Jamal pula, pada konsert itu nanti dia akan tampil dengan lagu baharu berjudul Suraya. Malah, Jamal juga akan menyanyikan sembilan buah lagu popularnya secara medley.

“Saya juga akan menyampaikan sebuah lagu berjudul Simfoni Sepi bersama dengan Ahmad Nawab yang mana saya akan bermain gitar manakala Ahmad Nawab pula akan bermain saksafon,” ujarnya.

Konsert Gemilang Malaysia juga bakal menampilkan Yusof Chobib selaku pengarah muzik dan pemain gitar, Datuk Ramli MS selaku pemain piano dan Steve Thornton (perkusi).

Tiket untuk Konsert Gemilang boleh didapati di Ticket2U dan dijual pada harga RM150, RM75 dan RM50 di Dewan Jubli Intan, Kuantan. Bagi konsert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa, Kuala Lumpur pula ia akan dijual pada harga RM500, RM300, RM200 dan RM100.

Tempahan tiket juga boleh dibuat menerusi laman web www.ticket2U.biz atau hubungi talian 03-4147 8600.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: