JOYCE CHAN (depan dua dari kiri) menyampaikan cek sumbangan kepada Godfrey Ooi bagi meringankan beban MAB membeli peralatan yang diperlukan. |
SEBATANG lilin bukan saja berkuasa memberi cahaya pada ruang yang kegelapan malah berperanan meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.
Buktinya, hanya menerusi jualan amal set lilin, L'occitane mampu meraih kutipan sebanyak RM48,240. Hasil dana tersebut kemudiannya disalurkan pada dua buah organisasi tempatan iaitu Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) dan kumpulan Kursus Pastri & Bakeri Ibu Tunggal.
"Tahun ini genap tiga tahun L'occitane bekerjasama dengan pihak MAB. Dua tahun lepas, kami berjaya mengumpul sejumlah RM65,000 hasil penjualan produk yang dimanfaatkan untuk membantu 4,000 warga kurang upaya penglihatan dewasa dan kanak-kanak di negara ini.
"Fokus utama kami adalah untuk tertumpu pada aspek pendidikan dan rekreasi supaya mereka berupaya mencapai potensi optimum sama seperti insan yang normal. Lagipun, kami melihat Orang Kelainan Upaya (OKU) juga mempunyai cita-cita yang tinggi untuk berjaya dalam kehidupan," jelas Pengurus Pemasaran L'occitane, Joyce Chan.
Sebahagian hasil kutipan itu digunakan untuk membeli peralatan pembelajaran khas buat individu cacat penglihatan seperti menambah bilangan komputer, kertas Braille, buku Braille, Braille Iqra dan mesin Braille.
Keprihatinan
Berbicara lanjut, Joyce melahirkan rasa terharu dan berbangga dengan keprihatinan yang dipamerkan oleh rakyat Malaysia. Sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk manfaat mereka yang memerlukan merupakan inisiatif yang wajar dipuji dan dikekalkan.
Secara ringkasnya, projek amal L'occitane bermula pada 15 Disember tahun lalu melalui penjualan edisi terhad Relaxing Candle di semua cawangan butik L'occitane. Setiap unit lilin dijual pada harga RM12 setiap satu dan kempen berakhir pada 31 Januari 2012.
Pada majlis penyerahan sumbangan berkenaan, rakan media dan para tetamu dibawa melawat pusat latihan vokasional, pusat teknologi maklumat, perpustakaan dan pusat penerbitan Braille yang berlokasi di MAB, Jalan Brickfields, Kuala Lumpur.
Mereka juga berkesempatan melihat cara-cara menterjemahkan koleksi buku pelbagai bahasa pada cetakan Braille untuk kegunaan penghuni di sana. Proses tersebut dilakukan secara moden dengan menggunakan mesin cetak Braille berteknologi tinggi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Eksekutif MAB, Godfrey Ooi menyatakan, sejajar dengan peredaran zaman yang semakin moden, MAB sentiasa mengemas kini servis buat warga kurang upaya penglihatan.
Langkah itu bertujuan memberi mereka berpeluang mempelajari dan memperkaya diri mengikut arus perubahan masa.
"Kami berbesar hati dengan sokongan daripada pihak L'occitane. Mereka bukan sahaja mengumpul dana untuk tujuan yang murni malah menyuntik kesedaran murni yang tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia.
"Ini memberi ruang kami menikmati pendidikan yang sepatutnya agar dapat memperbaiki taraf hidup serta pergi jauh dalam mencapai kualiti kehidupan," luah Godfrey.
Ibu tunggal
Dalam pada itu, L'occitane tidak ketinggalan memberi sumbangan hasil kutipan bagi menaja Program Berfaedah Buat Ibu Tunggal melalui kolaborasi bersama Jabatan Pembangunan Wanita, Selangor.
Program berkenaan memberi peluang kepada ibu tunggal yang berpendapatan kecil menaikkan taraf hidup dengan mengikuti kursus pastri dan bakeri. Melalui pelbagai pendedahan kemahiran dan tip berguna, diharapkan wanita-wanita tersebut berupaya menjana pendapatan menyara keluarga dengan melakukan bisnes pastri dan kek.
"Situasi ibu tunggal di Malaysia semakin membimbangkan kerana ramai antara mereka tidak dilengkapi kemahiran menjana pendapatan secukupnya untuk menampung anak dan keluarga.
"Secara tidak langsung, bantuan amal ini kami berupaya membantu mereka meraih pengalaman dan meningkatkan diri agar lebih berdikari.
"Kami juga berharap dengan kemahiran bakeri ibu-ibu tunggal boleh menjana pendapatan gus menjadikan kehidupan mereka keluarga dengan lebih baik," kata Mohd. Sabri Ramly yang merupakan Pengarah Perancangan Pembangunan Wanita, Jabatan Pembangunan Wanita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: