PETALING JAYA: Syarikat produksi Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) melancarkan empat filem baharu serentak untuk ditayangkan sehingga penghujung tahun ini.
Pengurus Besar GBSB, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, pelancaran filem-filem tersebut adalah sejajar dengan misi pihak mereka untuk menjadi sebuah syarikat produksi dengan penanda aras baru selain menyuntik kesegaran dalam industri perfileman tanah air.
"Empat buah filem tersebut adalah permulaan daripada kami kerana masih banyak filem-filem keluaran GBSB bersama syarikat produksi lain dalam usaha memenuhi tuntutan industri perfileman tanah air," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem-filem terbitan syarikat itu di sini pada Rabu.
Empat filem berkenaan adalah Ngorat yang akan ditayangkan pada 4 Oktober depan, Bisikan Syaitan (25 Oktober), Istanbul Aku Datang (8 November) dan Sembunyi (22 November).
Dalam pada itu, Tengku Iesta berkata, pihaknya akan mempelbagaikan lagi filem-filem buatan tempatan termasuk projek kerjasama dengan produksi lain.
"Industri perfileman tempatan sudah semakin maju dengan pelbagai genre berbeza dihasilkan kepada penonton. Ia menyemarakkan lagi semangat kami untuk bersama-sama memajukan industri perfileman negara," katanya.
Filem lain yang terdapat dalam senarai syarikat itu untuk tayangan pada tahun hadapan ialah Kl Zombie, Pecah, Rock Oo, Penanggal, KL Gangster 2, Pencinta, Pengapit dan Lebuhraya Ke Neraka.
Sementara itu, pada majlis tersebut GBSB turut meraikan anak-anak yatim dari Rumah Penyayang Raudhah bersempena sambutan Aidilfitri yang turut dihadiri oleh selebriti seperti Lisa Surihani, Tomok, Wan Sharmila, Elly Suriati, Diana Danielle, Zul Ariffin dan Miera Leyana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: