TETAP CANTIK...koleksi rekaan kurung Pahang yang ringkas.
REKAAN busana gaya tradisional kontemporari menggunakan kain kapas termasuk kapas Jepun dan sutera kapas serta lycra makin mendapat perhatian penggemar fesyen Muslimah.
Jenis kain terbabit selesa dipakai bagi jangka masa lama disebabkan sifat kainnya yang sejuk, tahan lasak serta berupaya menyerap peluh.
Itulah yang cuba diketengahkan butik Ratu untuk setiap koleksi busananya yang masih mengekalkan gaya tradisional dengan sedikit sentuhan moden ke atas fabrik.
Menurut Pengarah Pemasarannya, Juwita Abdullah, keindahan corak kain kapas yang pelbagai menjadikannya lebih diterima ramai sama ada untuk dijadikan baju kurung ataupun kurung moden.
“Tidak dinafikan gaya tradisional masih mendapat permintaan tinggi di kalangan penggemar baju Muslimah, namun sekiranya diberikan sedikit sentuhan moden, ia mampu kelihatan lebih bergaya.
“Pemilihan kain polos, bintik polka, jalur, bercetak dan berkotak menjadikan koleksi lebih menarik kerana siapa sangka, corak ringkas sebegitu mampu memberikan kelainan,” katanya ketika ditemui di butiknya di Platinum Walk, Kuala Lumpur.
Terdapat pelbagai pilihan rekaan dan corak busana di butik berkenaan antaranya baju kurung, kurung moden, jubah, jubah moden, kaftan dan kurung Pahang.
Malah Juwita berkata, pemilihan perincian seperti kerawang dan manik pada busana turut menjadikan koleksi lebih eksklusif dan anggun untuk digayakan.
Oleh itu, katanya, tidak hairanlah kain kapas yang dijadikan baju kurung kini boleh mencecah harga hingga ratusan ringgit terutama apabila ditambah dengan hiasan seperti sulaman manik ataupun tampalan kristal.
“Pelanggan boleh memilih busana bersama perincian terbabit secara sarat
ataupun ringkas dengan memberikan tumpuan pada bahagian leher, hujung lengan serta hujung baju,” katanya.
Untuk melihat pelbagai koleksi busana di butik berkenaan, layari www.ratu2u.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: