Monday, September 10, 2012

Filem Korea Selatan menang anugerah utama


KI-DUK menunjukkan anugerah Golden Lion pada Festival Filem Venice di Venice, Itali kelmarin.


VENICE, Itali - Filem pengarah Korea Selatan, Kim Ki-duk yang berjudul Pieta memenangi anugerah utama pada Festival Filem Venice kali ke-69 kelmarin.

Kim-duk menyanyi lagu rakyat Korea, Arirang di atas pentas sebagai cara untuk mengucapkan terima kasih kepada juri kerana memilih filemnya memenangi Anugerah Golden Lion.

Filem arahannya itu menceritakan tentang pemberi pinjaman wang haram di sebuah daerah di Seoul.

Menurutnya, kos filem tersebut ialah AS$100,000 (RM311,342).

Bagaimanapun, timbul kontroversi apabila terdapat dakwaan bahawa panel juri dikatakan mahu memilih filem The Master arahan Paul Thomas Anderson.

Bagaimanapun, filem The Master itu telah memenangi pengarah dan pelakon lelaki terbaik.

Peraturan festival itu menyatakan sebuah filem tidak boleh memenangi lebih daripada dua anugerah.

Justeru, panel juri sekali lagi bermesyuarat dan memutuskan Pieta dipilih sebagai filem terbaik.

Kim-duk yang berusia 51 tahun pernah memenangi anugerah pengarah terbaik pada tahun 2004 pada festival yang sama menerusi filem Bin-jip.

Pelakon lelaki filem terbaik dimenangi Joaquin Phoenix dan Philip Seymour Hoffman dalam filem The Master.

Pengarah filem terbaik dimenangi Anderson menerusi filem tersebut.

Filem itu mengisahkan seorang juruterbang veteran yang mengetuai sebuah pergerakan yang dikenali sebagai The Cause.

Pelakon wanita terbaik dimenangi Hadas Yaron menerusi filem tentang penduduk Yahudi di Tel Aviv, Lemale Et Ha'Chalal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: