Tuesday, September 4, 2012

Fibroid hadir tanpa gejala

SALAM. Saya kini berumur 35 tahun dan baru mempunyai dua orang anak. Saya merancang untuk mengandung lagi. Baru-baru ini saya terbaca tentang tanda-tanda penyakit fibroid yang hampir sama dengan apa yang saya alami. Saya sering membuang air kecil dan sakit ketika melakukan hubungan seks. Bolehkah doktor jelaskan lebih lanjut tentang masalah fibroid. Adakah ia mengganggu kesuburan seorang wanita? Apakah tanda-tanda dan rawatan penyakit ini?

n Su, Perak.

JAWAPAN:

Fibroid adalah salah satu jenis penyakit yang berkaitan dengan rahim. Kebiasaannya, fibroid terjadi kepada wanita yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an, iaitu dalam lingkungan usia subur (peringkat reproduktif) dan akan kembali mengecut (mengecil) apabila seseorang wanita itu sudah mengalami menopaus atau putus haid.

Kebanyakan wanita yang mengalami fibroid tidak mempunyai gejala atau tanda-tanda. Hanya 20 hingga 30 peratus sahaja yang mungkin menunjukkan gejala yang dihadapi bergantung pada saiz, lokasi dan bilangan fibroid.

Antara gejala yang sering dialami oleh penghidap fibroid adalah perubahan haid yang banyak, sakit semasa hubungan seks, mungkin kerap membuang air kecil dan juga air besar, pembesaran dalam rahim dan perut, keguguran dan infertiliti. Ini adalah kerana fibroid yang membesar kebiasaannya akan memberikan tekanan pada organ yang berada di sekitar rahim (uterus), iaitu pundi kencing dan hujung usus (rektum).

Akibatnya, seseorang wanita akan mengalami masalah kencing seperti kerap kali hendak kencing, sering kali tidak dapat mengawal kencing atau kadang-kadang sukar untuk kencing.

BertakungJika hal ini berterusan, air kencing akan bertakung di dalam pundi kencing dan akan menyebabkan seseorang wanita itu berisiko mendapat jangkitan kuman pada pundi kencing. Apabila ini berlaku, wanita itu akan berasa pedih atau sakit ketika kencing. Apabila fibroid menekan pada usus pula, ia akan menyebabkan simptom seperti sembelit atau sukar untuk membuang air besar.

Ada fibroid yang mencetuskan gejala dan ada juga yang berlaku tanpa sebarang gejala. Gejala wanita mengalami fibroid adalah berdasarkan lokasi fibroid itu sendiri. Lokasi fibroid akan memberikan gejala kepada penghidapnya dan sering mempengaruhi gejala yang dialami oleh seseorang itu dan sesetengah kes, rawatannya berbeza-beza. Ada sesetengah pesakit yang menghidap fibroid mengalami perdarahan yang berlebihan dan berpanjangan setiap kali mereka mengalami haid dan kadangkala mereka juga mungkin mengalami masalah ketidaksuburan atau infertiliti.

PuncaFibroid antara punca infertiliti dalam kalangan kaum wanita. Saya akur bahawa perkataan infertiliti sudah cukup untuk menyalakan api ketakutan bagi pasangan suami isteri yang mengimpikan cahaya mata lebih-lebih lagi bagi mereka yang belum mempunyai anak. Begitu jugalah masalah fibroid dalam kalangan kaum wanita, ia pasti akan menimbulkan seribu kerisauan dalam hati mereka. Akan tetapi, harus diingatkan tidak semua wanita yang menghidap fibroid akan mengalami masalah infertiliti. Jika berlaku, maklumat dan pengetahuan mengenai permasalahan tersebut dan cara rawatan perlu dicari. Seterusnya, penghidap hendaklah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat, menjalani pemeriksaan dan berbincang tentang perawatan yang dapat ditawarkan.

Tidak semestinya semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid tidak boleh mengandung kerana ramai juga wanita yang mempunyai fibroid, masih boleh mengandung. Lebih kurang lima peratus daripada penghidap fibroid terutamanya fibroid jenis submukosa atau fibroid yang besar mempunyai kesukaran untuk mengandung kerana kehadiran fibroid akan mengubah dinding rahim dan menyebabkan sukar untuk penempelan janin pada dinding rahim.

SukarSekiranya fibroid itu terlalu besar, ia juga akan menyebabkan salur Fallopio tersumbat sehingga seseorang itu sukar untuk hamil. Kadang kala ia juga boleh menimbulkan masalah kedudukan bayi yang tidak normal seperti songsang, melintang atau sebagainya. Adakalanya fibroid menyekat kelahiran bayi kerana pertumbuhannya terlalu besar dan tidak membolehkan kepala bayi turun ke rongga pelvik.

Tidak semua wanita mengalami gejala seperti disebutkan itu. Fibroid yang kecil tidak memberikan sebarang gejala dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Akan tetapi, jika seorang wanita mempunyai salah satu gejala yang telah disebutkan itu, tidak semestinya dia menghidap fibroid. Saya nasihatkan supaya Puan Su berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: