BIARPUN jarum jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi, jari-jemari Ella Sandera tetap gagah untuk terus meletakkan sehelai demi sehelai bulu-bulu kening palsu ke atas satu objek silikon.
Saat itu juga, biji mata jurumekap kesan khas yang berusia 34 tahun itu mula berair kerana telah beberapa hari tidak cukup tidur semata-mata mahu lekas menyiapkan hasil kerjanya itu.
Objek yang berbentuk seperti manusia tersebut dibuat secara terperinci agar wajahnya menjadi persis pelakon dan penyanyi, Marsha Milan Londoh.
Ella Sandera juga sengaja menoreh wajah patung kenyal tersebut agar dapat menonjolkan kesan seperti luka besar akibat terkena bilah kipas siling selain melukis bibir dengan warna pucat.
Untuk tempoh hampir dua bulan wanita yang nama sebenarnya Norela Ulis itu mengabdikan diri menghasilkan tiga buah patung berbadan lengkap, dua topeng wajah hantu dan organ-organ dalaman untuk kesan khas yang digunakan dalam filem seram arahan Osman Ali yang berjudul Juanita.
Tempoh sebulan digunakan untuk menghasilkan patung silikon tersebut. Selama 28 hari lagi pula untuk dia berada di lokasi penggambaran filem yang tamat pada beberapa bulan lalu itu.
"Patung dan topeng hantu ini perlu dihasilkan dengan teliti agar ia kelihatan sama seperti wajah Marsha yang merupakan pelakon filem itu untuk kesan yang lebih realistik.
"Ia digunakan dalam adegan yang tidak dapat dilakukan oleh manusia yang masih hidup seperti ditanam dalam kubur.
"Selain persediaan awal dengan menghasilkan patung-patung ini, saya juga perlu turun ke lokasi penggambaran untuk melakukan solekan khas pada pelakon juga," ujar Ella Sandera ketika kunjungan Jurnal di studio miliknya di Subang Jaya, Selangor.
Takut
Dalam setiap gerak jarinya mewarna dan melukis perincian pada wajah patung tersebut, Ella tetap berwaspada dengan kreativitinya agar setiap 'hantu' itu kelihatan logik.
Dia perlu meletakkan had dalam berkarya kerana percaya bahawa penonton mampu menilai hasil yang realistik dan mengikut skrip filem. Hasil rekaannya juga dipastikan tidak keterlaluan mengikut budaya Melayu.
"Apabila menghasilkan hantu yang sedikit di luar batas masyarakat Melayu seperti yang bertanduk, pasti ramai yang akan mengkritik dan memberi komen bahawa ia tidak logik.
"Kalangan orang Melayu pun ada hantu sendiri mengikut kepercayaan yang saya jadikan sebagai panduan seperti pocong, puntianak, langsuir, toyol dan penanggal.
|
|
"Saya mengambil kira pandangan penonton tentang bagaimana wajah hantu yang mengikut kehendak skrip dan tidak mengganggu perjalanan cerita.
"Kajian di internet dan membandingkan dengan efek hantu yang dihasilkan di luar negara juga penting," kata anak kelahiran Sibu, Sarawak itu.
Selain terlibat dalam filem Juanita, Ella Sandera juga pernah menghasilkan model hantu penanggal yang persis wajah pelakon Ummi Nazeera dan janin untuk filem Penanggal arahan Ellie Suriati.
Dia akan menuang cecair silikon yang diimport dari Amerika Syarikat ke dalam acuan yang terlebih dahulu ditekap dengan wajah pelakon agar ia menjadi persis pelakon itu sebelum dicat.
Aktiviti yang memerlukan kesabaran yang tinggi itu sebenarnya berjaya membawa Ella Sandera keluar daripada sifat penakutnya.
Rutinnya yang setiap hari sering berdampingan dengan model-model yang dihasilkannya itu sedikit demi sedikit mengikis sifat tersebut.
"Memang saya benar-benar penakut. Tetapi oleh kerana minat yang mendalam untuk menghasilkannya, saya dapat mengatasi sifat tersebut.
"Apabila setiap hari berdampingan dan kadangkala tertidur ketika menyiapkan model itu macam tiada perasaan takut pun," katanya yang menganggap model tersebut sebagai sekadar patung yang tidak boleh bergerak.
Sebuah bilik khas di rumahnya dijadikan tempat untuk ibu kepada seorang cahaya mata itu menyimpan patung-patung yang pernah dihasilkannya. Bilik itu juga dijadikan tempat untuk Ella Sandera berkarya.
Jelas Ella Sandera, dia tidak pernah diganggu makhluk halus sepanjang terlibat melakukan solekan khas hantu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: