Muhammad Arif dipenjara 10 bulan selepas mengaku salah melupuskan rangka motosikal curi.
KUALA TERENGGANU - Taktik seorang ejen insurans yang melupuskan semua rangka motosikal curi bagi mengelak dikesan pihak polis tidak menjadi apabila dia ditahan dalam satu serbuan Khamis lalu.
Padahnya, Muhammad Arif Mohd Ludin, 20, terpaksa meringkuk di penjara selama 10 bulan selepas dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi.
Muhammad Arif mengaku dengan sengaja melupuskan sebuah rangka motosikal casis milik Mat Zaki Omar, 40, di kawasan semak di Kampung Bukit Koh, Marang kira-kira jam 10.30 pagi, 6 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala Muhammad Arif tidak diwakili peguam bela.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai guru hanya menyedari motosikalnya yang diletakkan di tempat letak motosikal di Lorong Pak Tijah 1, Jalan Tok Jembal, di sini, hilang kira-kira jam 6 pagi, 8 Julai lalu sebelum
membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.
Susulan laporan dibuat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu membuat serbuan di kediaman tertuduh kira-kira jam 8.30 pagi, 6 September lalu dan menahannya untuk tindakan lanjut.
Hasil soal siasat, Muhammad Arif mengaku sudah membuang casis dan enjin motosikal itu di kawasan semak di Kampung Bukit Koh, Marang, sebelum ke kawasan berkenaan untuk melihat barang kes dan menemui semula casis dan enjin di lokasi terbabit.
Caption: Muhammad Arif dipenjara 10 bulan selepas mengaku salah melupuskan rangka motosikal curi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: