DALAM Pertandingan Kek Coklat yang memasuki tahun ke enam anjuran Great Eastern dan Rafflesia ini, matlamatnya untuk mengutip kira-kira RM30,000 bagi disalurkan kepada pelbagai pertubuhan kebajikan kanak-kanak di Kuala Lumpur.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Perkhidmatan Korporat dan Harta Great Eastern, Bruce Lee Yee Lam berkata, pada tahun ini acara itu disertai 12 chef dari pelbagai hotel dengan 12 biji kek yang kemudian dijual kepada orang ramai dengan bantuan beberapa selebriti tanah air.
"Menerusi acara kali keenam ini, kami mensasarkan kutipan sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 untuk disalurkan kepada pelbagai pertubuhan kebajikan di sekitar Kuala Lumpur.
"Seperti kebiasaan, kami tidak memberikan wang tunai tetapi kami membelikan peralatan, alat tulis dan keperluan lain kepada pertubuhan-pertubuhan terpilih ini," katanya ketika ditemui pada acara tersebut yang berlangsung di Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Lebih menarik, kek yang dihasilkan oleh chef terbaik dari hotel masing-masing ini bertemakan The Rafflesia Flower.
Tema tersebut sudah tentunya mengambil inspirasi daripada Pengarah Rafflesia Pearl Centre itu sendiri, Winnie Sin.
Mengenai pemilihan selebriti pada tahun ini, Lee berkata, kehadiran golongan artis pada acara itu ternyata memberikan impak yang besar kepada hasil jualan dan respons khalayak umum.
"Kami berbesar hati dengan kerjasama para selebriti tanah air yang terbuka dan bersungguh-sungguh membantu jualan kek.
"Populariti mereka terutamanya Aaron Aziz, Rozita Che Wan dan Azwan Ali berjaya memeriahkan dan menarik perhatian pengunjung di pusat beli belah ini untuk membeli kek dan bergambar," katanya.
Pertandingan telah diadili oleh Lee sendiri bersama beberapa wakil media cetak dan elektronik.
Pada kejohanan itu, kategori Kek Paling Kreatif dimenangi oleh Grand Millenium Kuala Lumpur dengan kek bertemakan Rafflesia with Smurfs, Berjaya Times Square Hotel Kuala Lumpur di tempat kedua (Slices of Nature) dan Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur di tempat ketiga (Heavenly Chocolate Rafflesia).
Kategori kek terbaik pula berpihak pada Grand Dorsett Subang Hotel dengan kek bertemakan Rafflesia; Swiss-Garden Hotels & Residences Kuala Lumpur sebagai naib juara (Rainforest Paradise) dan The Royale Chulan Kuala Lumpur di tangga ketiga (Dark Chocolate Cake Smooth N Delicious).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: