Saturday, September 15, 2012

Banyak impian ingin dicapai

Dayang Nurfaizah
Dayang Nurfaizah

LEBIH sedekad dia membekukan perasaan cintanya demi kecintaan terhadap muzik. Ada yang hadir untuk mengisi sedikit ruang kekosongan hati, namun semua cubaan itu dipatahkan.

Hanya kini barulah dia bersedia membuka pintunya lantaran perjalanan selama 13 tahun sebagai anak seni menemukannya dengan pelbagai kepuasan.

  • Foto

  • Foto

Dayang Nurfaizah Awang Dowty yang meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-31 pada 20 Julai lalu, sudah sedia untuk mencintai dan dicintai.

Itulah perakuan jujur wanita berkulit sawo matang terkenal dengan gelaran Beyonce Knowles Malaysia itu saat bertemu di Rumah Terbuka Dayang Nurfaizah Wit Majlis Aids Malaysia, di The Boulevard Shop Office, Sentul, Rabu lalu.


“Hendak kata sunyi tidak juga kerana Dayang sentiasa sibuk tambahan pula ada anak saudara yang tinggal di Kuala Lumpur. Apabila ada kelapangan Dayang banyak habiskan waktu dengannya.


“Cuma kadang-kala sepi itu terasa juga, lebih-lebih lagi apabila pulang ke Sarawak, melihat adik-beradik, sepupu dan kawan-kawan Dayang, hampir kesemuanya sudah berumah tangga dan mempunyai anak. Bilakah agaknya giliran Dayang?

“Sepupu yang jauh lebih muda pun sudah berkahwin sampai kadang-kadang itu Dayang merungut kenapa nak berkahwin muda-muda sangat. Bukannya apa, sebenarnya Dayang cemburu kerana Dayang belum ada teman lelaki,” katanya ketawa.

Ditanya, apakah dia terlalu memilih sehingga dirinya sukar didekati, bingkas Dayang, sifat itu perlu ada dalam diri seorang wanita lebih-lebih lagi berbicara soal masa depan.

“Mahukan masa depan yang baik dan terjamin, wanita kenalah memilih mana boleh main ambil saja kerana apabila berkahwin wanita hak suami. Kalau sudah kahwin baru hendak menyesal sudah tiada guna.

“Pun begitu, Dayang bukanlah seorang yang melihat kebendaan cukuplah lelaki stabil, ada visi, sedap mata memandang dan paling penting menerima diri dan kerjaya Dayang seadanya. Jika dia boleh menghormati wanita dan kerjaya mereka pasti rumah tangga dapat dijalani dengan baik.

“Terus-terang bukan tidak ada yang datang menggoda sebelum ini. Cuma, Dayang sendiri yang membataskan dan tidak membenarkan diri dirapati kerana Dayang terlalu taksub dengan kerja. Dayang tidak mahu kehilangan cita-cita hanya kerana cinta.

“Ada kekasih, bukan dia saja harus faham kita, tetapi kita juga perlu memahami mereka. Jadi, untuk kerjaya penyanyi seperti ini, Dayang perlukan lelaki yang sentiasa menyokong dan mendorong karier seni Dayang “ katanya.

Tempoh 13 tahun mengabdikan diri pada dunia nyanyian, apakah Dayang merasakan perjuangannya itu berbaloi?

Jelas Golden Juara Teen Search 1997 yang melonjak dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu, dalam pada banyak lagi impian yang ingin dicapainya, ada beberapa pengalaman luar biasa dilalui sepanjang bergelar penyanyi.

“Setiap manusia tidak akan pernah puas. Ada perkara yang sudah Dayang capai dan ada yang tidak. Namun, Dayang tidak akan berhenti mengejarnya.

“Dari segi pembikinan album, Dayang bersyukur kerana berpeluang merakamkan album sebagaimana yang Dayang impikan. Tetapi selama usaha Dayang untuk diangkat dalam kelompok terbaik masih ramai tidak begitu memandangnya.

“Mungkin belum masa Dayang. Sekarang ini pula makin ramai yang jadi penyanyi, benar kadang saya goyang, tapi Dayang percaya kemudian hari orang akan melihat pada bakat.

“Apapun, selepas melayari dunia seni banyak kenangan indah Dayang lalui salah satu daripada peluang berduet dengan artis dan komposer Barat, David Foster. Di antara ramai penyanyi di negara ini, dia memilih Dayang,” katanya.

Mengemaskini kerjaya seninya, selepas muncul dengan album solo tahun lalu, Dayang & Cahaya, bakal melancarkan album istimewa iaitu album live yang memuatkan persembahannya bersama Anuar Zain ketika mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sekitar Mei lalu.

“Idea ini tercetus selepas kami menjayakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas sekitar Mei lalu. Kami ada bercakap untuk merakamkan semula lagu yang dinyanyikan secara duet mahupun solo. Dayang mungkin menyanyikan lagu Anuar dan begitulah sebaliknya.

“Dayang jangkakan ia satu kolaborasi yang cukup menarik dan album ini boleh dianggap baru kerana susunan muzik dilakukan semula termasuklah rakaman suara.

“Apa yang menarik, penerbitan album ini nanti membabit nama besar yang sering Dayang gunakan khidmat mereka antaranya Jenny Chin dan Mac Chew,” katanya.

Sebelum menoktahkan perbualan, baru-baru ini, Dayang menerima Anugerah Kebesaran Sarawak bersempena ulang tahun kelahiran yang ke-91, TYT Yang Dipertua Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin Abang Barieng. Dayang dikurniakan anugerah Darjah Amat Mulia Bintang Sarawak (Ahli Bintang Sarawak-ABS).

“Dayang memang tidak menyangka sama sekali menerima darjah ini dan berasa amat terharu kerana memperoleh anugerah itu dari Dipertua Sarawak sendiri yang menghargai bakat seni seperti Dayang,” katanya.

Selain menyanyi, sejak 2009, Dayang diiktiraf sebagai Selebriti Sokongan Red Ribbon oleh Majlis AIDS Malaysia untuk mencipta kesedaran mengenai transmisi gejala HIV/AIDS dan juga kesedaran mengenai hak orang ramai untuk memartabatkan kehidupan harian mereka, tidak kira siapa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: