
PENYANYI 60-an, Jeffrydin menghiburkan pengunjung pada penganjuran Fiesta Bera tahun lalu.
BERA - Beberapa artis popular tanah air akan membuat persembahan pada Konsert MyIPO sempena penganjuran Fiesta Bera 2012 di sini pada 6 Oktober ini.
Penyelaras Program, Raja Azman Raja Ayob berkata, antara artis terbabit ialah Dafi AF, Kumpulan Forteen, Datuk M. Daud Kilau, Ali Terra Rossa dan Ani Mayuni.
"Turut membuat persembahan ialah Haida dan Kevin Lau, manakala Abon dan Didie Alias selaku pengacara konsert," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Raja Azman berkata, Konsert MyIPO secara percuma itu akan berlangsung di Tapak Ekspo Majlis Daerah Bera kira-kira pukul 9 malam.
Katanya, selain itu beberapa artis lain seperti Rozita Che Wan, Anzalna, Siti Saida, Erry Putra dan Azam Pitt akan turut membuat penampilan istimewa di Fiesta Bera 2012 pada 7 Oktober.
Menurutnya, orang ramai berpeluang untuk bertemu ramah dengan artis terbabit pada satu slot yang akan dihoskan oleh Roslan Shah pada hari berkenaan.
Katanya, Siti Saida, Erry Putra dan Azza Elite pula akan menjadi juri pertandingan Battle of The Band dan karaoke pada 7 Oktober.
Jelas beliau, pertandingan itu bermula pada pukul 11 pagi hingga 3 petang dan mereka yang berbakat diseru menyertainya.
Katanya, orang ramai yang ingin maklumat lanjut mengenai pertandingan Battle of The Band dan karaoke boleh menghubungi talian 010-532 3018 dan 012-284 6811.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: