Tuesday, September 11, 2012

Ahmad Idham Latih Adik Kandung Jadi Pengarah

Ahmad Idham

PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon Ahmad Idham Ahmad Nadzri sedang berusaha membina nama adiknya iaitu Ahmad Khalid Nadzri sebagai pengarah berkaliber di negara ini.

Ahmad Idham berkata, ia merupakan tanggungjawabnya sebagai seorang abang untuk memperbaiki diri adiknya tidak kira dalam apa juga bidang.

"Kalau saya tidak membantu dia siapa lagi yang boleh menolongnya?

"Tambahan pula dia memang berminat dalam bidang pengarahan dan sebagai seorang abang rasanya tidak salah saya mengajarnya dalam mencapai cita-citanya itu," ujarnya selepas pelancaran drama Runtun Qalbu di sini pada Isnin.

Drama bersiri 13 episod itu diarahkan oleh Khalid sepenuhnya bakal menemui penonton menerusi slot Zehra mulai 21 September ini.

Ia akan disiarkan pada pukul 9 malam setiap Jumaat di TV3.

Dalam pada itu, Idham memberitahu dia yakin dengan kebolehan adiknya mengarah selepas drama bersiri Apa Celop! mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Kata Idham, sebagai seorang pengarah yang telah berpengalaman dia perlu meletakkan kepercayaan kepada pengarah muda untuk berkarya dengan sentuhan berbeza.

"Budak muda sekarang lain bukan macam dulu kerana idea mereka berbeza dan lebih maju daripada orang lama macam saya.

"Mengapa tidak kita percayakan mereka kerana bakat yang mereka ada tambahan pula Khalid mempunyai ijazah dalam bidang pengarahan," jelasnya.

Tambah Idham, dia bukan sahaja mendidik Khalid tetapi mengambil dua lagi pengarah muda sebagai protegenya.

"Orang nampak saya angkat Khalid kerana dia adik kandung saya tetapi sebenarnya ada dua lagi pengarah muda yang sedang saya gilap bakat mereka," katanya.

Sementara itu, Idham memberitahu dia berpuas hati dengan hasil kerja Khalid namun masih memantau proses pasca produksi yang masih dijalankan.

Katanya, walaupun tidak menggangu kerja-kerja pengarahan di lokasi tetapi dia ingin memastikan produk yang dihasilkan adalah yang terbaik.

Dalam perkembangan lain, Runtun Qalbu membariskan pelakon terkenal seperti Fasha Sandha, Kamal Adli, Shah Iskandar dan Fida Ibrahim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment