Adabi pasarkan produk bertin
Azatul Izan Mohamed Nordin bersama produk terbaru Adabi.

Kepelbagaian kaum di negara ini memberi peluang untuk berkongsi segala jenis budaya dan makanan amnya. Dengan kelahiran Adabi Consumer Industries Sdn Bhd pada 1984, sebuah syarikat seratus peratus milik Bumiputera yang pelbagai produk berasaskan rempah ratus melengkapkan lagi dunia masakan di Malaysia.

Hari ini, Adabi bukan sahaja menghasilkan produk rempah ratus, tetapi juga telah mengukuhkan portfolionya dengan pengenalan rangkaian makanan dalam tin.

Fokus 2012

Menyentuh perkembangan Adabi untuk tahun ini, syarikat itu sedang giat menumpukan perhatian pada makanan dalam tin yang buat julung kalinya diperkenalkan bermula awal Januari lalu.

Menggunakan slogan "Era baru masakan dalam tin di Malaysia", Adabi menekankan rasa makanan yang sama dengan masakan di rumah.

Penggunaan bahan mentah yang segar, tanpa bahan pengawet, proses penyediaan menggunakan Air Reverse Osmosis (RO) yang bebas klorin dan kuman serta tiada bau tin menjadikan produk terbaru keluaran Adabi ini sebagai satu lagi tanda kejayaan syarikat tersebut.

Pembantu Pengurus Produknya, Azatul Izan Mohamed Nordin berkata, sehingga kini Adabi memperkenalkan empat rangkaian makanan dalam tin bermula dengan rangkaian kari pada Januari, rangkaian sambal dan sos pasta pada Jun serta rangkaian sup pada Julai lalu.

“Sejak dilancarkan, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Kebanyakannya tidak menjangkakan itu makanan dalam tin kerana rasanya sama seperti masakan di rumah. Selain mudah dan ringkas untuk disediakan ia juga bertepatan dengan slogan.

“Kini, Adabi sedang memasuki fasa kedua pemasaran di mana akan ke kawasan luar bandar. Walaupun sasaran adalah di kawasan bandar, namun Adabi ingin produknya boleh didapati di mana sahaja,” katanya.

Beliau menambah, Adabi mengambil masa enam tahun dan melabur RM4 juta bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan, ujian dalaman dan luaran serta membangunkan kemudahan mesin bagi memastikan produk yang dihasilkan benar- benar berkualiti.

Buat masa ini, rangkaian sup dan kari Adabi adalah ayam sahaja, tetapi Adabi berhasrat untuk mempelbagaikan variannya kepada kambing dan puyuh awal tahun depan.

Pada masa sama, Adabi juga akan mula mengeksport rangkaian makanan dalam tin tahun depan.

Walaupun baru diperkenalkan pada Januari ini, Adabi telah mencatatkan jualan hampir RM2 juta bagi produk makanan dalam tin sehingga Jun lalu.

Jika tahun lalu, Adabi merekodkan jualan RM200 juta bagi semua produk secara keseluruhannya, tahun ini syarikat itu menyasarkan peningkatan 20 peratus yang disokong oleh pengenalan produk makanan dalam tin.

Izan menambah, antara perancangan lain, Adabi berhasrat menjadi pengeluar makanan terbaik dan terbesar kedua di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, dengan kualiti produk yang tinggi, dan teknologi makanan dalam tin, Adabi yakin mampu menjadi antara yang terbaik bukan sahaja di Malaysia malahan juga di Asia.