KELUARGA pernah menyifatkan saya 'gila' apabila saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan melibatkan diri dalam perniagaan menjual insurans." Itulah antara reaksi awal Pengurus Wilayah AIA AFG Takaful Bhd., Zuriati Mohamed Yusoff, apabila ditanya mengenai sokongan keluarga apabila dia sanggup melepaskan pendapatan bulanan yang melebihi RM5,000 sebulan semata-mata ingin menceburkan diri dalam bidang insurans.
Bagi Zuriati, walaupun perjalanan hidupnya selepas melepaskan jawatan sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat swasta tidak selancar yang diimpikan, tetapi berkat usaha serta kegigihan yang disemat di dalam diri, dia akhirnya berjaya mengharungi segala kesulitan hidup.
Menurut anak kelahiran Bidor, Perak, ini, walaupun enam bulan pertama pembabitannya di dalam bidang insurans tidak mendatangkan hasil, dia nekad ingin membuktikan kebolehannya selepas menyedari ia berpunca daripada dirinya sendiri.
Malah Zuriati menegaskan, disiplin merupakan elemen penting yang harus ada di dalam diri setiap individu apabila ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
"Kegagalan enam bulan pertama sebaik sahaja menjadi ejen insurans adalah disebabkan kelalaian saya sendiri kerana waktu itu buat sambil lewa sahaja.
"Maklumlah, waktu itu dah bekerja sendiri, dah jadi bos, jadi segala-galanya dibuat tanpa memikirkan kebaikan ataupun keburukan, disiplin diri juga tidak ada.
"Setelah menyedari kesilapan sendiri, saya akhirnya 'bangun daripada tidur' dan akhirnya di sinilah saya hari ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dia yang kini merupakan agensi berdaftar untuk AIA AFG Takaful (Islamic) Insurans turut memberitahu, kejayaan yang ditempa hari ini bukanlah dikecapi dalam sekelip mata malah ia memerlukan pengorbanan serta kesungguhan yang jitu dalam diri.
Mengimbas kembali pembabitannya di dalam bidang insurans, ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini, dia inginkan kelainan dalam kehidupannya dan ingin keluar daripada kepompong lama.
Dalam masa yang sama, Zuriati juga ingin menghabiskan masa bersama keluarga di mana dia merasakan selama 13 tahun menguruskan akaun, masanya bersama keluarga terhad.
Disebabkan itulah, Zuriati nekad melepaskan jawatannya dan tanpa berfikir panjang dia memilih untuk menjadi agen insurans.
Apabila ditanya mengapa memilih insurans sebagai sumber pendapatannya hari ini, jelas anak keempat daripada lapan beradik ini, selain meminati bidang perniagaan, dia turut berpendapat bidang insurans satu bidang yang mempunyai masa depan yang cerah.
Bagaimanapun, bagi Zuriati, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Yang penting minat serta kesungguhan untuk mengusahakan sesuatu perniagaan tersebut dan insya-Allah, segala-galanya akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.
Hari ini setelah lapan tahun menerajui bidang insurans, Zuriati sudah boleh berbangga kerana dengan hanya bermula sebagai agen, dia kini sudah mempunyai syarikatnya sendiri, ZMY & Associate Sdn. Bhd., selain mempunyai 20 buah pejabat di Ipoh, Perak; Kuantan, Pahang; Seremban, Negeri Sembilan; Kota Bahru, Kelantan dan Terengganu.
Selain itu, ZMY & Associate turut mempunyai 120 orang agen seluruh Malaysia dengan lapan orang pekerja dan tujuannya cuma satu untuk merekrut seramai mungkin agen di samping menjana pendapatan sampingan keluarga.
"Bidang ini menjanjikan lebih pendapatan dan untuk mereka yang mencari pendapatan sampingan bolehlah mencuba.
"Walaupun bidang insurans ini nampak susah dengan menduduki pelbagai peperiksaan tetapi jika bersungguh segala-galanya mudah.
"Contoh saya sendiri di mana saya tidak mempunyai pengalaman apatah lagi pengetahuan di dalam bidang ini tetapi apabila kita sendiri berusaha untuk mempelajarinya, insya-Allah berjaya," tambahnya lagi.
Ternyata pengorbanan Zuriati tidak sia-sia apabila dia berjaya 'menarik' suaminya, Mohd. Zubir Ismail untuk bersama-samanya 'berjuang' di dalam bidang insurans.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: