INDUSTRI berasaskan pematuhan kepada kehendak syariat Islam mengikut konsep halalan wa toyibban di negara ini terutamanya dalam pengeluaran produk-produk makanan, kosmetik dan kesihatan berkembang dengan begitu pesat. Antara lain bagi menjadikan Malaysia sebagai antara hab halal utama dunia.
Namun bagi merealisasikannya, ia memerlukan satu tugas dan tanggungjawab yang cukup berat kepada semua pihak terutama para pemain yang terlibat secara langsung dalam industri ini demi menjaga maslahah pengguna, umat Islam.
Ramai yang melihat aspek penguatkuasaan peraturan dan undang-undang mampu menjadi penghalang kepada sebarang usaha-usaha pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengabaikan konsep halal lagi baik ini.
Namun pengguna hari ini adalah mereka yang tidak mahu diri mereka tertipu walau barang sekali.
Sekali mereka tertipu walau diberi jaminan penipuan itu tidak akan berulang kembali, namun para pengguna lazimnya sukar memberikan peluang kedua.
Pemain utama
Justeru pihak pengusaha yang turut terdiri daripada mereka yang bukan Islam mesti mematuhi kehendak pengguna Muslim yang sangat menitikberatkan soal halal dan haram, apatah lagi dalam aspek pemakanan.
Lantas bagi tujuan penyelidikan terutama untuk memperkasakan industri halal menerusi arena bioteknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dengan kerjasama Malaysian Biotechnology Sdn. Bhd. (BiotechCorp) telah melancarkan makmal analisis halal yang buat pertama kalinya seumpama itu di Malaysia bertempat di Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (Ihram) USIM di Nilai, Negeri Sembilan.
Ihram tidak sahaja menawarkan analisis produk halal namun ia juga menekankan aspek kesedaran mengenai konsep halal melalui latihan halal umum dan latihan praktikal mengenai makanan halal kepada pihak industri.
Pelancaran makmal itu telah diadakan baru-baru ini oleh Pengerusi baru Lembaga Pengarah USIM, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin. Turut hadir, Naib Canselor USIM, Datuk Dr. Muhammad Muda dan Ketua Pegawai Eksekutif Biotech, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal.
Selain menawarkan analisis produk halal, unit ini juga bertujuan meningkatkan nilai produk, inovasi dan perkhidmatan serta mengembangkan pasaran produk-produk bioteknologi halal ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Dr. Muhammad dalam ucapannya berkata, Ihram merupakan satu rakan kongsi strategik dengan BiotechCorp bagi menyelesaikan secara tuntas segala permasalahan mengenai status halal yang meliputi atau menggabungkan kesemua aspek atau bidang sains, teknologi, syariah dan muamalat, iaitu melibatkan penyelidikan, rundingan, promosi, keusahawanan dan lain-lain setelah mendapat geran bernilai RM2 juta dari Kementerian Pengajian Tinggi.
"USIM tidak mahu ketinggalan sebagai pemain utama dalam industri halal di negara ini, walaupun beberapa institusi pendidikan tinggi awam dan swasta yang lain turut mempunyai makmal yang bersifat hampir sama dengan Ihram," katanya.
Sementara itu, Dr. Abdul Shukor ketika berucap berkata, walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dijangka mempunyai makmal penyelidikan halal di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, iaitu agak hampir dengan Makmal Ihramdi USIM, namun semua itu perlu dilihat sebagai satu perkembangan positif bagi saling lengkap melengkapi antara satu lain.
"Ini kerana kita perlu sedar bahawa terdapat beribu-ribu permohonan daripada pengusaha bagi mendapatkan sijil pengiktirafan halal yang lazimnya memakan masa yang lama bagi mendapatkannya.
"Justeru, dengan adanya lebih banyak makmal penyelidikan halal yang diiktiraf oleh kerajaan seperti Ihram ini, dapat membantu bagi mengurangkan birokrasi dan tempoh masa bagi mendapatkan sijil tersebut.
"Di samping penubuhan Ihram yang turut melahirkan ramai pelatih-pelatih yang mempunyai kepakaran yang dalam pelbagai aspek bioteknologi terutama bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) misalnya, maka makmal seperti ini adalah sangat relevan," katanya.
Sementara itu menurut Pengarah Ihram, Profesor Madya Dr. Alina Abdul Rahman, masyarakat mungkin kurang memahami pelbagai perkembangan yang berlaku dalam bidang bioteknologi yang digunakan dalam bidang industri makanan, kosmetik perubatan dan sebagainya.
"Jadi dengan adanya Ihram ini kita membantu mengesan sebarang salah guna bahan seperti DNA babi dan sebagainya yang kadang kala sukar dikesan tanpa teknologi analisis yang tinggi.
"Anggap sahajalah Ihram tidak ubahnya seperti badan siasatan seperti satu rancangan televisyen popular di televisyen bagi menyelesaikan apa juga kerumitan dalam kes-kes jenayah yang berlaku dalam industri halal negara," katanya.
Untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai Ihram dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang ramai, boleh menghubungi talian 06-7987020 atau melayari laman web http://ihram.usim.edu.my/.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: