Tuesday, April 3, 2012

Tunku Ismail pilihan tepat



KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) bakal melalui transformasi apabila Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan persetujuan untuk dicalonkan sebagai presiden pada pemilihan kesatuan itu pada hujung bulan ini.

Persetujuan tersebut dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar minggu lepas.

Presiden Persatuan Olahraga Johor, Datuk Mohd. Rashidi Mohd. Noor berkata, pada 18 Mac lalu wakil ahli gabungan KOM dari Johor, Selangor, Kelantan, Terengganu, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah menghadap Tunku Ismail di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru bagi mengemukakan cadangan agar baginda bersetuju untuk dicalonkan sebagai presiden persatuan sukan tertua di Malaysia itu.

“Selain itu, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga telah memberi sokongan penuh agar Tunku Ismail dicalonkan pada pemilihan akan datang.

“Selepas menimbang dan mengkaji situasi terkini KOM serta selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Tunku Ismail akhirnya bersetuju untuk dicalonkan pada pemilihan yang mungkin akan diadakan bulan ini,” kata Mohd. Rashidi pada sidang akhbar

di Johor Bahru semalam.

Menurut Mohd. Rashidi, sepuluh daripada 15 ahli gabungan KOM bersetuju untuk mencalonkan Tunku Ismail sebagai pemimpin KOM kerana yakin baginda yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) mampu untuk melakukan transformasi terhadap sukan olahraga di Malaysia.

Jelasnya, Tunku Ismail merupakan calon yang sesuai bagi menggantikan presiden sekarang, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana baginda masih muda dan bertenaga, serta cukup berdisiplin selepas mendapat latihan ketenteraan.

Baginda juga atlet yang berjaya selepas memenangi beberapa pertandingan polo di peringkat antarabangsa.

“Kami inginkan sesuatu pembaharuan dan sesuatu yang baru. Kami yakin Tunku Ismail boleh menjadi ikon yang baik buat remaja dan dengan sikap baginda yang suka mendampingi rakyat, saya percaya Tunku Ismail dapat memberi semangat kepada atlet olahraga di setiap lapisan.

“Sehubungan itu saya menyeru semua ahli gabungan, jurulatih-jurulatih dan atlet yang betul-betul ingin melihat pembangunan sukan olahraga di Malaysia berkembang dapat memberi sokongan terhadap pencalonan Tunku Ismail,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: