KEJAHILAN selebriti dalam undang-undang terutama berkaitan pencerobohan privasi, ditipu dan difitnah sedikit sebanyak boleh menjejaskan kerjaya mereka.
Kesedaran yang masih rendah dalam kalangan penggiat seni itu terus menyebabkan golongan artis dimanipulasi terutama di Internet sehingga menyebabkan kerugian serta pelbagai masalah lain.
Sedar terhadap nasib penggiat seni yang tertindas dengan pelbagai masalah termasuklah hak mendapatkan royalti, kerjasama antara Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) membuka ruang untuk penggiat seni tampil mendapatkan pengetahuan mengenai undang-undang.
Sukaguam merupakan badan bebas yang menawarkan khidmat nasihat dan rundingan berkaitan undang-undang secara percuma kepada semua peringkat masyarakat.
Sebagai perintis, Ana Raffali dan Neelofa menjadi artis pertama yang bersama-sama Sukaguam untuk menimba kesedaran mengenai hak seorang artis.
"Sukaguam bersama dua artis ini akan membentuk kesedaran dalam kalangan artis melalui program-program yang bakal diaturkan kelak.
"Diharapkan lebih ramai artis akan tampil tanpa perlu berasa takut sekiranya tidak jelas berhubung hak-hak mereka kerana kami sedia membantu tidak kira apa jua khidmat nasihat yang mereka perlukan," kata Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat.
Antara perkara yang boleh dibangkitkan oleh penggiat seni termasuklah royalti, hak cipta, kontrak perjanjian, perlanggaran privasi dan fitnah di media.
Apakah hubungan antara Sukaguam dengan kalian?
NEELOFA (N): Sukuguam ialah sukarelawan peguam yang memberi nasihat berkaitan undang-undang secara percuma.
ANA RAFFALI (AR): Sukuguam memainkan peranan dalam menyampaikan pengetahuan mengenai undang-undang bukan sahaja kepada saya tetapi kepada artis lain. Peluang ini akan saya gunakan untuk mengajak artis lain menimba kesedaran mengenai hak mereka.
Apakah kata sepakat yang dicapai antara artis dengan Sukaguam?
N: Buat masa ini saya, Ana Raffali, Fizo Omar dan Nora Danish antara artis yang terlibat untuk mengajak rakan-rakan artis lain mengambil tahu mengenai hak mereka.
AR: Sukaguam membuka peluang untuk artis mendapatkan input dan maklumat tentang hak mereka di sisi undang-undang. Saya berperanan untuk mengajak artis lain bersama-sama berkerjasama dengan Sukaguam.
Apakah cara untuk memberikan kesedaran kepada artis lain mengenai perkara ini?
N: Apabila berdepan dengan masalah, artis boleh merujuk terus kepada Sukaguam untuk mendapat nasihat. Saya akan mengajak rakan-rakan artis untuk menyertainya. Pihak Sukaguam akan mendekatkan diri dengan artis seperti membuka ruang pameran ketika majlis-majlis yang melibatkan artis.
AR: Menurut Datuk Khairul, pejabat Sukaguam yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur membuka ruang untuk para artis datang dan berbincang mengenai perkara berkaitan setiap Jumaat dan ia adalah percuma.
Sebelum ini, adakah anda sedar mengenai hak artis di sisi undang-undang?
N: Sedar, tetapi tidak menyeluruh. Harap selepas berkerjasama dengan Sukaguam, kami akan diberi lebih pendedahan.
AR: Sedar, cuma tahu samar-samar sahaja, tetapi kesedaran itu tetap ada.
Sejak bila?
N: Sejak sebelum jadi artis lagi, cuma ketika masuk dalam dunia ini (popular) saya perlahan-lahan sedar mengenainya, tetapi ramai dalam kalangan artis takut untuk mengambil tindakan.
AR: Sejak dari dulu lagi dan kini setelah berkerjasama dengan Sukaguam pastinya banyak yang akan diperoleh oleh artis.
Jadi apabila semua artis sedar tentang hak mereka, ini bermakna kes saman-menyaman akan bertambah. Komen anda?
N: Kita bukan nak menaikkan kebolehan artis untuk menyaman tetapi mengenengahkan cara dan apa yang patut seseorang artis itu lakukan untuk mengatasi perkara tersebut.
AR: Saya harap kes saman-menyaman akan berkurangan. Apabila kita tahu hak kita dan hak orang lain, kita akan berjaga-jaga terhadap setiap apa yang kita lakukan. Ia sebenarnya boleh diselesaikan secara matang. Langkah ini sebenarnya bagus untuk mengelakkan industri kita daripada dicemari dengan perkara tak sihat. Sekurang-kurangnya kita akan berjaga-jaga terhadap setiap apa yang kita lakukan dan tidak menyalahi undang-undang.
Anda sendiri pernah berdepan keadaan tekanan terutamanya apabila difitnah?
N: Masalah akaun palsu yang menggunakan nama artis pasti berlaku di kalangan kebanyakan mereka. Saya tidak terlepas daripada perkara itu. Mereka membuat pelbagai kenyataan sehinggakan membuat orang lain percaya bahawa itu ialah saya. Jika pemilik akaun palsu itu mengeluarkan kenyataan yang menjatuhkan maruah, pasti memberi kesan terhadap kerjaya saya.
AR: Selepas menang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25 dahulu, ada yang menyatakan bahawa saya meletak harga sehingga RM10,000 untuk menyanyikan sebuah lagu. Saya tidak tahu dari mana datangnya cerita itu. Ia secara tidak langsung menjejaskan pendapatan saya kerana ada penganjur yang tidak berani untuk mendapatkan khidmat saya.
Apakah yang lebih baik, saman atau menggunakan saluran media untuk menjernihkan semula keadaan apabila berdepan kes fitnah?
N: Saman bukanlah cara penyelesaian yang terbaik. Jika ia (saman-menyaman) tetap berlaku, masa depan artis turut terkesan kerana mungkin akan diboikot.
AR: Perkara sebegini boleh diselesaikan dengan baik. Kalau boleh elakkan saman-menyaman. Seperti kes AJL itu, nasib baik ada wartawan yang sudi memberi ruang untuk saya memberi penjelasan.
Apakah cabaran anda ketika berdepan dengan perkembangan media baharu seperti blog dan Twitter dan Facebook?
N: Tidak dinafikan kebanyakan fitnah ke atas saya bermula daripada media baharu seperti Twiitter dan Facebook. Liputan media ini sebenarnya begitu meluas kerana boleh diakses ke seluruh dunia. Sebagai seorang artis penyebaran perkara palsu pastinya menjejaskan karier mereka.
AR: Media sosial ini liputannya meluas dan sukar untuk mengetahui siapa yang menyebarkannya. Sukar untuk membendung penyebaran apa-apa maklumat mengenai saluran ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: