KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 80-an, Rohana Jalil sering bertekak dengan pelakon dan penyanyi, Kilafairy kerana kurang senang dengan sikap sambil lewa anaknya itu terhadap bidang seni.
Rohana berkata, Kilafairy yang baru berusia 18 tahun itu masih mentah dan ada masanya dia akan cepat bosan dengan apa yang dilakukannya.
"Dia masuk ke dunia seni tanpa perlu bersusah payah seperti mana zaman saya dulu dan kesenangan yang dimiliki kadang-kadang membuat dia lupa dan mula sambil lewa.
"Saya bertekak dengan dia tu bukanlah bermaksud kami bergaduh tapi lebih kepada nasihat kerana dia pun masih muda dan perlu ada orang tua seperti saya yang tahu selok-belok dunia hiburan.
"Saya sebagai ibu tidak mahu dia hanyut dengan glamor sehingga terlepas peluang atau melakukan sesuatu yang akan dia menyusahkan dia kemudian hari," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Pertandingan Bintang RTM 2012 di Angkasapuri di sini, Isnin.
Dalam pada itu, Rohana berkata, dia sebenarnya mahu Kilafairy memberi tumpuan sepenuhnya kepada karier nyanyian tetapi minat anaknya itu lebih terhadap dunia lakonan.
Bagaimanapun kata Rohana, Kilafairy kini lebih berhati-hati dalam memilih watak kerana sering diberi peranan 'gedik' yang kurang sesuai dengan usianya yang masih muda.
"Lakonan adalah minat dia dan sebagai ibu, saya tetap sokong tetapi dia mesti bersungguh-sungguh dalam apa yang dilakukan. Setakat ini usaha itu sudah nampak cuma dia perlu tingkatkan lagi," katanya.
Sementara itu, Rohana berkata, dia bakal muncul dengan single duet bersama anak gadisnya itu dan memilih komposer Amylea (AF) untuk mencipta lagu itu nanti.
Kata Rohana, dia menyerahkan kepada komposer muda itu untuk memilih lagu sesuai untuk mereka kerana ingin muncul dengan sesuatu yang baru dan segar bersama anak.
"Saya teruja dengan projek terbaru ini dan ingin muncul dengan sesuatu yang boleh menambat hati peminat Kilafairy dan saya sendiri. Jadi rasanya orang baru seperti Amylea lebih mengetahui apa yang sesuai untuk lagu duet itu nanti," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rohana berkata, dia bakal muncul dalam satu persembahan khas di Hotel UiTM di Shah Alam pada 28 April ini bersama dua rakan baiknya iaitu Nassier Wahab dan Zur Eda pada pukul tiga petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: