Friday, April 6, 2012

Rekaan menyerlah, eksklusif

SELENDANG...selendang jahitan di bawah dagu mudah dipakai.
SELENDANG...selendang jahitan di bawah dagu mudah dipakai.

TARIKAN kepelbagaian corak, warna serta penggayaan tudung memberi pilihan kepada wanita memilih rekaan mengikut keselesaan serta acara yang akan dihadiri. Mungkin ada wanita gemarkan gaya eksklusif menerusi tudung bercorak atau polos manakala ada memilih padanan ringkas berselendang.

Namun tidak semua tudung dijual menepati cita rasa wanita serta sesuai dengan bentuk wajah. Ada yang sudah berkenan namun ukurannya terlalu longgar, ada pula yang cantik rekaannya namun fabriknya kurang menepati selera.

  • Foto

    TERANG...pilihan selendang kain kapas warna terang untuk mereka yang berani.

  • Foto

    REMAJA...corak polka dot sesuai gaya remaja.

  • Foto

    ANGGUN...tampil sopan dengan ikatan selendang untuk gaya kasual.

  • Foto

    ANGGUN...gaya Muslimah tudung bermanik eksklusif sesuai dipadankan jubah.

  • Foto

    UNIK...untuk tudung Syria, boleh digayakan dengan dua anak tudung corak berbeza.

Kesukaran memilih tudung bersesuaian, mendorong Nurhuda Khalid menghasilkan rekaan hijab yang bukan saja memenuhi kehendak wanita malah selesa dipakai.

Ujar wanita ini lagi, kebanyakan wanita moden kini gemar berpakaian cantik dan mereka semakin bijak bergaya, justeru peluang yang ada digunakan dengan menghasilkan rekaan yang bukan saja menyerlah malah sesuai untuk semua usia.


“Sebagai wanita saya cuba memahami apa yang diinginkan mereka. Selain warna dan corak, jenis fabrik juga mempengaruhi dalam pemilihan gaya tudung. Paling penting tudung selesa dipakai dan mereka tampil menyerlah walau dalam apa juga padanan,” katanya.


Menggunakan label Huda’s Hijab by Nur, Nurhuda tampil dengan rekaan tudung terkini termasuk tudung bersengkuap, Syria, selendang, anak tudung serta kelainan menerusi selendang dijahit separuh pada bahagian dagu.

Idea menghasilkan selendang ini terhasil kerana kerap mendengar rungutan rakan yang ingin tampil berselendang tetapi tidak tahu menggayakannya. Ada pula merasa sukar kerana mengambil masa lama disebabkan fabrik terlalu licin sehingga mengganggu kekemasan lilitan.

“Menerusi sedikit kajian, saya cuba hasilkan selendang yang senang dipakai dan praktikal. Dengan jahitan di bawah dagu, ia memudahkan wanita mengenakan lilitan mengikut kesesuaian mereka serta cepat dipakai.

“Selain itu fabrik memainkan peranan penting, sebab itu saya menggunakan material yang ‘dekat’ dengan wanita seperti lycra, kapas, denim dan sifon. Keempat-keempat fabrik ini ternyata menjadi pilihan ramai bukan saja kerana terletak cantik malah lembut, menyerap peluh dan tidak panas. “Lebih penting setiap rekaan sesuai dipakai semua golongan sama ada pelajar, berkerjaya atau suri rumah,” katanya.

Keistimewaan koleksi Huda’s Hijab juga pada jahitan manik dan batu permata yang sederhana dan tidak keterlaluan. Ini memberi rasa selesa kepada wanita yang ingin bergaya dengan padanan kasual.

Menjadikannya tampil eksklusif, setiap rekaan didatangkan dalam satu atau dua warna dalam ukuran S, M dan L saja. Malah Nurhuda menyediakan perkhidmatan menukar sengkuap mengikut jenis fabrik. Ini kerana kebanyakan tudung sedia dipakai tahan lasak cuma mengalami kerosakan pada bahagian sengkuap.

“Mungkin kerana kerap dibasuh, dilipat serta salah menggantung menyebabkan sengkuap patah. Namun jangan bimbang kerana setiap tudung boleh diganti sengkuap manakala tudung Syria boleh dijahit sengkuap bagi memudahkan pemakaian,” tambahnya.

Mengenai penjualan, setakat ini koleksi Huda’s Hijab hanya boleh dimiliki menerusi blog dan laman sosial pada harga di antara RM59 hingga RM70. Namun begitu ibu kepada tiga cahaya mata yang menjalankan perniagaan sepenuh masa ini mengakui berhasrat membuka butik suatu hari nanti.

Dia juga sedang merangka strategi bagi mewujudkan rangkaian pengedar eksklusif yang ingin menjual koleksi Huda’s Hijab di seluruh negara. Ini bagi memberi peluang kepada wanita memulakan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan sampingan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: