Friday, April 27, 2012

Penuhi keperluan Muslimah

RASMI...pemilik Rona Jingga, Faridah (kanan) melihat busana bersama Datuk Paduka Sharifah Hishmah Shahabudin di butik Rona Jingga, baru-baru ini.
RASMI...pemilik Rona Jingga, Faridah (kanan) melihat busana bersama Datuk Paduka Sharifah Hishmah Shahabudin di butik Rona Jingga, baru-baru ini.

ILHAM rekaan bukan sekadar menghasilkan sehelai pakaian, tetapi merangkumi hasil seni yang bukan saja menjanjikan kepuasan tetapi keselesaan dan keunikan menerusi penampilan si pemakai.

Dalam menghasilkan busana, tumpuan tidak hanya diberikan kepada konsep semata-mata, pemilihan fabrik, corak dan warna turut memainkan peranan utama.

  • Foto

    BERCORAK...jubah bercorak menampilkan sisi berbeza.

  • Foto

    ANGGUN...padanan jubah menampilkan gaya anggun wanita.

  • Foto

    KASUAL...blaus dan skirt sesuai digayakan ke pejabat dan majlis rasmi.

  • Foto

    MENAWAN...bukan saja jubah dan blaus, Rona Jingga turut menyediakan koleksi seluar untuk tampil santai.

Selepas itu barulah helaian kain dipotong dan dijahit menjadi busana yang indah sifatnya.

Inspirasi untuk golongan profesional, eksekutif muda dan mereka yang mementingkan kualiti dan kesempurnaan jenama Rona Jingga dengan slogan Label Rekaan Muslimah tampil mewarnai dan melengkapi keperluan wanita masa kini.


Menetapkan tiga elemen utama iaitu unik, selesa dan sempurna, pemilik dan pereka Rona Jingga, Faridah Zakaria kembali memberikan sentuhan segar pada penampilan lebih anggun dan berkualiti.Ketika berucap pada majlis pelancaran Rona Jingga, baru-baru ini, Faridah memberitahu, sentuhan busana adalah idea sendiri sebagai memenuhi inspirasi wanita daripada potongan mahupun warna digunakan.

“Saya mengambil masa menghasilkan setiap rekaan kerana inginkan penghasilan yang bukan saja unik, malah diterima ramai. Dengan kehadiran pelbagai jenama, sudah semestinya Rona Jingga mahu mendahuluinya dari segi kualiti dalam penampilan,” katanya yang pernah merang�kul pelbagai anugerah seperti Naib Johan Pertandingan Batik anjuran Batik Malaysia Berhad, Johan Malam Busana Moda 1992 yang mencungkil bakat pereka muda serta mewakili Malaysia dalam pertandingan Pereka Muda Asean sempena Minggu Fesyen Singapura 1992.

Bakat dan pengalaman dalam bidang rekaan melebihi 20 tahun memberi kelebihan kepada Faridah untuk menterjemahkan seni rekaan mengikut kehendak sendiri serta memenuhi pilihan ramai.

Koleksi Rona Jingga merangkumi keseluruhan keperluan Muslimah seperti jubah dan gaun, pakaian ke pejabat dan kasual merangkumi skirt, blaus labuh dan seluar yang menjanjikan gaya menawan. Juga koleksi tudung yang pelbagai, perhiasan kerongsang, rantai, gelang serta keperluan haji dan umrah.

“Selain kasual, keistimewaan Rona Jingga pada koleksi haji dan umrah yang lengkap, menarik dan praktikal. Di Rona Jingga, kami menekankan konsep berziarah ke rumah Allah dengan penampilan indah bagi menambah keyakinan dan tingkat ketakwaan ketika menjalani ibadat,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan ketika di Tanah Suci, jubah serta seluar dilengkapi zip tersembunyi bagi menyimpan barang penting dan berharga. Perincian yang terdapat pada rekaan jubah ini juga membuatkan�nya sesuai digayakan ke semua majlis.

Selain itu, Rona Jingga juga menyediakan pelbagai jenis tudung sama ada tudung siap bersengkuap, Syria dan selendang serta telekung khas untuk ziarah dan telekung sembahyang menggunakan fabrik kapas bagi menyerap peluh dan sejuk dipakai.

Bagi memberikan keselesaan kepada si pemakai, semua himpunan pakaian menggunakan fabrik berkualiti dan lembut seperti kapas, sutera, lycra, spandex dan hampir keseluruhan diletakkan pelapik.

“Wanita tidak perlu memakai alas baju kerana semua pakaian dijahit pelapik daripada fabrik yang selesa dan sejuk. Paling penting tidak jarang, labuh dan memenuhi syariat Islam,” ujarnya.

Pemilihan rona lembut dan segar juga menjadikan koleksi Rona Jingga lain daripada yang lain. Gabungan merah jambu lembut dan hitam, coklat, hijau, biru kelasi dipadankan rona pastel seperti kelabu, putih dan hitam menjadikan setiap busana berada dalam kelas tersendiri.

Rekaan ringkas tanpa perlu banyak perincian manik bukan saja memberi gambaran kepada kesempurnaan tetapi keunikan dalam berpakaian.

Butik yang terletak di Bangsar dibuka setiap hari dari jam 10.30 pagi hingga 8.30 malam. Harga setiap pakaian bermula daripada RM99 ke atas.

Himpunan Rona Jingga boleh dimiliki dengan mengunjungi butik di 10-1, Jalan Telawi 5, Bangsar Baru, Kuala Lumpur atau bagi pembaca yang ingin menjadi rakan niaga, boleh melayari ronajinggaboutique.blogspot.com atau di facebook Rona Jingga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: