Friday, April 27, 2012

Memecut go-kart sambil sebarkan mesej kanser


SEORANG wanita memasukkan wang sumbangan ke dalam tabung Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).


GOLONGAN wanita di negara ini masih perlu diberi kesedaran tentang pentingnya pemeriksaan pangkal rahim dengan menjalani ujian pap smear bagi melindungi mereka daripada penyakit kanser itu.

Kanser pangkal rahim merupakan kanser ketiga paling kerap menyerang wanita di negara ini. Dalam statistik antarabangsa, kanser pangkal rahim meragut nyawa wanita setiap dua minit di dunia.

Menyedari senario itu, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) sentiasa mempergiatkan kempen kesedaran mengenai penyakit berkenaan.

Terbaharu, NCSM mengambil inisiatif buat julung-julung kalinya mengadakan perlumbaan go-kart di litar Sepang bagi mengumpul dana daripada hasil jualan tiket bagi membiayai program-program berbentuk pendidikan berhubung penyakit tersebut.

Program tersebut turut dijayakan dengan kerjasama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta disokong GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn.Bhd (GSK) ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan, malah pelancong.


PESERTA pertandingan kelihatan tidak sabar untuk memulakan perlumbaan go-kart.


Biarpun hujan renyai-renyai pada hari itu, namun ia tidak menghalang orang ramai menyertai perlumbaan go-kart yang hanya mengenakan RM20 sebagai yuran penyertaan.

Menariknya, pemenang tempat pertama bukan sahaja berpeluang memenangi empat tiket MotoGP dan produk jagaan kesihatan pengguna GSK bernilai RM250 bahkan, boleh membawa bersama 10 orang temannya memandu go-kart di SIC selama sejam secara percuma.

Untuk hadiah kedua pula, pemenang akan membolot dua tiket MotoGP dan produk jagaan kesihatan pengguna GSK bernilai RM150, manakala pemenang ketiga akan membawa pulang baucar Parkson bernilai RM250 serta produk jagaan kesihatan pengguna GSK bernilai RM100.

Bagaimanapun, 17 pemenang seterusnya tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana mereka akan menerima baucar Parkson bernilai RM20 dan produk jagaan kesihatan pengguna GSK bernilai RM75 setiap seorang.

Dalam pada itu, pengunjung yang tidak terlibat dengan perlumbaan itu boleh menyertai bermain kereta lumba kawalan jauh di trek yang disediakan.

Sementara itu, Pengarah Urusan NCSM, Rubi Ain Dahlan mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang hadir untuk menyokong acara berkenaan.

Beliau berharap orang ramai terutamanya golongan wanita memperoleh pengetahuan berguna mengenai penyakit tersebut melalui pameran yang diadakan.


PENGUNJUNG yang tidak terlibat dengan perlumbaan go-kart meluangkan masa bermain kereta lumba kawalan jauh di trek khas yang disediakan.


“Ini adalah sebahagian daripada usaha NCSM untuk merealisasikan misi memberi kesedaran pentingnya pencegahan penularan kanser tersebut,” jelasnya mengenai acara yang dihadiri oleh lebih 200 orang pengunjung itu.

Bagi seorang pengunjung, Dayah Abdullah, 25, program tersebut dilihat mampu mendidik kaum wanita agar lebih peka mengenai kanser pangkal rahim.

“Saya mengetahui tentang bahaya kanser pangkal rahim, tetapi kurang pengetahuan mengenai kepentingan pemeriksaan awal dan pencegahan penyakit itu.

“Namun, dengan mengunjungi tapak-tapak pameran di sini, ia banyak membantu saya supaya segera menjalani pemeriksaan awal untuk mengesan penyakit itu,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: