Tuesday, April 24, 2012

Lakaran pakaian Lady Gaga didedah

LAKARAN pakaian yang akan dipakai Lady Gaga.


SEOUL - Empat lakaran pakaian yang bakal digayakan bintang pop Amerika Syarikat, Lady Gaga pada konsert jelajah di Korea Selatan didedahkan semalam.

Ia termasuk fesyen pakaian sendat yang direka dengan mempunyai bentuk seperti gitar dan sebuah papan kekunci piano.

Menurut rakan kongsi pereka pakaian jenama Giorgio Armani, firma Shinsegae International, Lady Gaga, 26, juga akan memperkenalkan pakaian jenama terkenal itu di empat lokasi lain semasa konsert jelajahnya berlangsung.

Koleksi pakaian baharu penyanyi tersebut termasuk sehelai sut hitam diperbuat daripada beratus-ratus tiub vinil yang dijahit dengan butang logam dan kepingan kaca.

"Pakaian terkini itu diperbuat daripada pelbagai material yang melambangkan konsep futuristik," kata Shinsegae.

Korea Selatan melarang penduduk berusia bawah 18 tahun menonton konsert Lady Gaga kerana ia didapati tidak sesuai untuk peminat remaja.

Sejumlah penganut agama Kristian turut berkumpul kelmarin bagi menentang konsert itu dengan menuduh penyanyi tersebut menyokong homoseksual dan pornografi.

Pakaian itu juga akan dibawa ke Hong Kong, Singapura, Australia dan New Zealand semasa konsertnya berlangsung.

Lady Gaga disenaraikan sebagai 100 individu yang paling berpengaruh sebagai ikon fesyen oleh majalah Time.

Dia pernah mengejutkan para peminat apabila memakai koleksi pakaian yang diperbuat daripada daging mentah.

Penyanyi itu tiba di sini pada Jumaat lalu seminggu sebelum konsertnya berlangsung.

Sementara itu, poster yang menentang konsert Lady Gaga dipasang di beberapa lokasi di sini.

Poster itu dipasang oleh anggota-anggota pertubuhan Perikatan Kesopanan Kebudayaan dan Seksualiti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: