Tuesday, April 24, 2012

Kurang berlakon jika berkahwin



BERTEMU dengan aktres jelita Maria Farida di lokasi penggambaran drama Cahaya Iman baru-baru ini, Maria masih kekal sama, cantik seperti dahulu.

Tidak sedikit pun berubah, namun apabila memulakan bicara dan dia memberitahu bahawa dia baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke-43 pada bulan lalu, ia membuat penulis terkejut.

Ya, dia nampak sungguh muda malah, anak lelaki tunggalnya Mizan Ashley kini telah berusia 15 tahun.

Sudah bergelar ibu tunggal lebih daripada sepuluh tahun, akui Maria, dia kini bersedia untuk bergelar isteri semula jika ditakdirkan bertemu dengan lelaki yang sesuai.

"Sudah tentu lelaki penting dalam hidup saya. Saya ingin kahwin lagi serta mencari bapa yang baik untuk anak saya.

"Sepanjang saya hidup sendiri, saya akui ada banyak jenis lelaki yang telah datang dan pergi dalam hidup saya, tetapi saya sukar untuk berjumpa dengan lelaki yang benar-benar ikhlas.

"Saya meletakkan syarat, lelaki yang ingin menjadi suami saya bukan sahaja harus menyayangi saya, tetapi juga harus pandai mengambil hati anak lelaki saya.

"Anak lelaki saya adalah segala-galanya bagi saya, jadi sebelum berkahwin dengan saya, lelaki itu harus menerima saya seadanya, bukan sebagai Maria Farida yang ditonton dalam kaca televisyen," tuturnya tegas.

Disoal sudahkah hatinya dimiliki oleh mana-mana lelaki, Maria hanya melemparkan senyuman dan mengatakan selepas kontroversi yang lepas (putus cinta dengan Shahrizal), Maria enggan berkongsi lagi kisah cintanya dengan sesiapa.

"Saya tidak mahu apa yang berlaku dahulu berulang kembali. Saya keluar dengan siapa dan siapa lelaki yang ada dalam hidup saya, biarlah saya simpan sendiri sahaja.

"Cuma, jika saya berkahwin lagi, saya mahu memperlahankan kerjaya lakonan dan memberi fokus kepada keluarga," kata pelakon yang cukup terkenal menerusi lakonannya dalam filem Bisikan Cinta itu lagi.

Terang Maria lagi, selepas kontroversi cintanya dengan Shahrizal, dia kini membataskan pergaulannya orang sekeliling.

"Mungkin dahulu saya terlalu peramah dan berkawan dengan sesiapa sahaja, akhirnya saya yang terkena. Jadi, sekarang saya lebih berhati-hati dalam pergaulan. Saya datang ke lokasi untuk bekerja dan habis penggambaran terus pulang ke rumah," ujarnya yang kini tampil dengan potongan rambut paras bahu.

Bukan diva

Mungkin disebabkan cara penampilan serta karakter wanita kelas atasan yang sering diberikan kepada Maria membuatkan ramai yang menyangka dia sukar di dampingi lelaki dan mengamalkan gaya hidup yang mewah.

PADA usia 43 tahun, Maria Farida masih laris mengisi pelbagai watak dalam drama. Bagaimanapun dia memberitahu akan memperlahankan rentak menjadi pelakon jika dia berkahwin semula nanti.


Hakikat sebenarnya, Maria yang memulakan kerjaya lakonan pada usia 20 tahun, sama seperti wanita biasa di luar sana.

"Diri saya yang sebenar bertentangan dengan apa yang khalayak fikirkan. Kononnya saya berperangai diva, tapi tanyalah mereka yang pernah bekerja dengan saya, saya bukan orang yang begitu.

"Saya akui, saya penggemar barangan berjenama seperti Louis Vuitton dan Chanel, tetapi semua yang saya miliki adalah atas hasil usaha saya berlakon. Saya tidak minta duit orang lain," ujarnya yang pernah terlibat dalam filem Datin Ghairah.

Menariknya, jika dalam kaca televisyen kita melihat wajah Maria sentiasa bersolek dan dia bergaya dengan kasut tumit tinggi, tetapi dalam dunia realiti dia adalah seorang wanita yang cukup ringkas.

"Saya tidak suka bersolek dan pakai kasut tumit tinggi. Jika saya keluar bersantai, saya lebih selesa memakai kasut rata dan kasut baji.

"Pakaian pula saya suka kemeja-T dan juga seluar jean sahaja. Pakaian glamor hanya untuk waktu kerja sahaja, selebihnya saya macam orang lain juga. Penatlah mahu bersolek sepanjang masa," katanya sambil ketawa.

Hodoh

Mungkin ramai yang bersetuju jika penulis katakan, terlalu sukar untuk melihat Maria Farida membawa watak orang kampung atau mak cik- mak cik, sesuai dengan usianya.

Watak yang memerlukan dia kelihatan hodoh pun tidak pernah sama sekali dilihat. Sebaliknya watak yang paling kerap dibawanya adalah sebagai wanita penggoda dan wanita kaya. Adakah Maria bersikap selektif dan tidak mahu untuk kelihatan hodoh dan tua?

Jawabnya sambil ketawa panjang: "Mana ada, saya sebenarnya tidak kisah untuk membawakan watak yang memerlukan saya kelihatan hodoh, tua atau macam mana rupa sekali pun.

"Malah, saya pernah membawa watak hantu, tetapi hantu yang kelihatan cantik. Pengarah yang tidak berani beri watak yang memerlukan saya kelihatan hodoh. Mahu tidak mahu, saya harus terima kerana berlakon merupakan periuk nasi saya."

MARIA FARIDA mengaku gemar memiliki barangan berjenama mewah, namun semuanya dibeli dengan hasil titik peluh sebagai seorang pelakon, bukannya ditaja oleh sesiapa.


Sambungnya lagi, meskipun sering diberi watak yang kelihatan cantik, apa yang penting adalah mutu lakonan, jika tidak, masakan Maria bertahan dalam industri seni sehingga ke hari ini.

"Mutu lakonan dan disiplin paling penting, itu petua saya untuk seseorang pelakon bertahan lama. Kalau wajah cantik tetapi disiplin entah ke mana, tidak boleh juga.

"Harus diingat, kecantikan yang dimiliki hari ini tidak akan berkekalan sampai bila-bila, suatu hari nanti semua orang akan tua dan wajah juga tidak cantik seperti waktu muda," katanya yang menyedari tentang hakikat kehidupan.

Malah akuinya, dia sendiri tidak menyangka akan bertahan cukup lama dalam industri seni yang memiliki ramai pelakon baharu.

"Saya tidak pernah sangka pada usia 43 tahun saya masih menerima tawaran berlakon. Alhamdulillah, mungkin sudah rezeki saya memang ada dalam bidang lakonan, saya akan teruskan selagi mempunyai permintaan." ceritanya sebelum menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: